Lima cedera jadi mangsa amukan lelaki bersenjatakan parang, tukul
SANDAKAN - Lima individu termasuk tiga wanita cedera selepas menjadi mangsa amukan seorang lelaki yang bersenjatakan parang dan tukul dalam kejadian di sebuah restoran di Batu 3, di sini pada pagi Jumaat.
Dalam kejadian jam 9.11 pagi itu, kesemua mangsa berusia lingkungan 34 hingga 63 tahun telah dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek mengesahkan kejadian itu memaklumkan seorang lelaki berusia 29 tahun telah mengamuk dan mencederakan lima individu yang berada di restoran tersebut.
"Sejurus menerima panggilan, pasukan peronda segera ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek lalu menenangkan keadaan.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek yang bersenjatakan parang dan tukul telah datang ke kedai makan tersebut dan tiba-tiba menyerang mangsa yang berada di dalam restoran tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, susulan kejadian itu kesemua mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital dan kini dalam keadaan stabil.
"Suspek yang tidak mengalami sebarang kecederaan turut dibawa ke balai polis untuk siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut," katanya.
Sebelum itu, Abduk Fuad turut berterima kasih kepada orang awam atas maklumat awal berhubung kejadian tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!