Buntu dua anak hidap sakit jantung
JERANTUT - Sepasang suami isteri di Felda Kota Gelanggi Dua di sini gigih mencari rezeki ekoran kedua anak mereka mengalami penyakit jantung sejak lahir.
Mohd Nazrul Mat Zain, 43, dan isterinya, Nurul Wahida Kamarudin, 40, melakukan pelbagai pekerjaan antaranya menangkap ikan liar, menanam ubi kayu dan mencari sumber hutan demi menampung kehidupan dan rawatan anak mereka.
Menurut Nurul Wahida, anak ketiga daripada lima beradik, Nurul Syafiera Mohd Nazrul, 13, menghadapi masalah saluran jantung sempit setelah mendapat pengesahan daripada doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh pada bulan lalu.
"Dia pernah menerima rawatan ketika berusia 9 tahun lalu dan keadaan pulih sekejap namun setelah masuk usia 13 tahun ini, masalah sesak nafas, cepat letih, kurang bertenaga dan tidak berselera makan kembali berulang sehingga mengganggu pelajarannya.
"Masalah yang sama juga berlaku pada anak bongsu, Nurul Aisyah, 3, juga disahkan oleh doktor mengalami saluran injap bocor ketika dirawat bulan lalu," katanya di sini baru-baru ini.
Jelasnya, Nurul Aisyah juga kali pertama mendapat rawatan injap jantung pada usia satu tahun tiga bulan dan keadaan sama berulang seperti dialami oleh kakaknya.
Tambahnya, situasi tersebut menyebabkan mereka perlu kerap berulang ke hospital dan memerlukan perbelanjaan yang banyak dan tidak dapat bekerja mencari rezeki sehingga kesempitan wang.
"Perbelanjaan sekolah anak-anak lagi menyebabkan saya dan suami tidak mampu berbelanja pakaian seragam, beg dan peralatan sekolah persediaan sebelum sesi persekolahan tahun depan," katanya lagi.
Dalam pada itu, Nurul Wahida yang juga generasi kedua Felda berkata, kerisauan mereka bertambah apabila memikirkan keadaan kesihatan kedua anaknya dan perlu persediaan kewangan sekiranya dipanggil untuk rawatan.
Jelasnya, setakat ini dia dan suaminya membuat pelbagai pekerjaan untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan.
Dia juga menghargai sumbangan bulanan RM650 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sumbangan barang makanan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) bernilai RM200 dan sebanyak RM600 lagi untuk belanja keperluan lain.
Orang ramai yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini jariah boleh menyalurkan sumbangan mereka ke akaun Maybank (156141469872) atas nama Nurul Wahida Kamarudin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!