Keluarga Altantuya desak kerajaan siasat tuduhan Azilah
KUALA LUMPUR - Keluarga Altantuya Shaariibuu mendesak Kerajaan Madani menjalankan siasatan terperinci terhadap tuduhan yang terkandung dalam afidavit bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri yang membunuh model Mongolia itu, 19 tahun lalu.
Menerusi kenyataan media, peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang Altantuya berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan institusi kerajaan wajar dilindungi daripada eksploitasi oleh pihak berkuasa atau individu yang berpengaruh.
“Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas seperti yang dijanjikan oleh pentadbiran semasa, dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan integriti institusi kehakiman Negara ini.
“Kerajaan mesti memberi penjelasan mengenai usaha terkini untuk membawa pulang bekas anggota polis, Sirul Azhar Umar yang melarikan diri ke Australia.
“Dia perlu dihadapkan ke muka pengadilan atas sabitan membunuh Altantuya,” katanya.
Sangeet berkata, isu ini melangkaui kepentingan politik dan menyentuh nilai asas serta reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa, yang telah terjejas teruk sejak kebelakangan ini.
Katanya, ‘skandal Altantuya’ telah mencemarkan nama baik negara, kerana keengganan pihak terbabit menjalankan siasatan sehingga menimbulkan persoalan besar tentang komitmen Kerajaan Madani terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
Menurutnya, pihak keluarga terpanggil untuk menangani isu penting berkaitan tuduhan yang terkandung dalam afidavit Azilah, yang telah dikemukakan semasa perbicaraan Mahkamah Persekutuan, pada 10 Oktober 2024.
Beliau berkata, menerusi afidavit yang diterima sebagai rekod mahkamah, tanpa bantahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), ia mendakwa wujud penglibatan pegawai tinggi kerajaan dalam mengarahkan operasi sulit untuk membunuh dan melupuskan jasad mendiang Altantuya.
“Impak tuduhan ini sangat serius dan secara langsung mencabar integriti institusi awam negara, khususnya PDRM.
“Sekiranya tuduhan ini terbukti benar, ia menunjukkan eksploitasi institusi negara untuk agenda peribadi oleh individu berpengaruh, yang bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat malah merosakkan reputasi negara di mata dunia.
“Kerajaan tidak mampu dilihat berkompromi atau terlibat dalam usaha menutup skandal sebesar ini,” katanya.
Peguam ini berkata, sebarang persepsi mengenai kegagalan bertindak atau cubaan menyembunyikan kebenaran akan mencemarkan kredibiliti pentadbiran ini dan reputasi negara.
Beliau berkata, meskipun tuduhan ini serius dan surat rasmi telah dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sejak Oktober tahun lalu.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, salinan turut disampaikan kepada Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara, masih tiada maklum balas diterima.
“Soalnya, berapa lama lagi pihak-pihak yang terkesan harus menunggu sebelum tindakan sebenar diambil?
“Sampai bila kerajaan ingin mendiamkan diri sementara reputasi negara terus tercalar?” soalnya.
Azilah yang membunuh Altantuya terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada 10 Oktober tahun lalu, menggantikannya kepada hukuman penjara selama 40 tahun.
Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan permohonan semakan hukuman mati Azilah, 49, untuk mengetepikan hukuman yang dikenakan terhadapnya.
Mahkamah memerintahkan dia dihukum bermula tarikh tangkap 1 November 2006 dan dikenakan 12 sebatan.
Sebelum ini, dia memohon hukuman mati itu diganti dengan hukuman penjara berikutan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 yang berkuat kuasa pada 4 Julai 2023.
Di bawah undang-undang baharu itu, hakim mempunyai kuasa budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun berdepan sebatan minimum sebanyak 12 kali.
Azilah telah disabitkan bersalah pada tahun 2009 bersama seorang lagi bekas anggota polis, Koperal Sirul Azhar Umar kerana membunuh Altantuya di Mukim Bukit Raja, Shah Alam, Selangor antara jam 10 malam 19 Oktober 2006 hingga 1 pagi keesokannya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menjatuhi mereka hukuman mati sementara, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat melakukan pembunuhan terbabit.
Pada 2013, Azilah dan Sirul Azhar dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan namun, dua tahun kemudian iaitu pada 2015, Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan itu dengan mengekalkan sabitan serta hukuman mati terhadap mereka.
Sirul Azhar tidak hadir untuk mendengar keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana melarikan diri ke Australia pada 2006 di mana dia ditahan di bawah undang-undang Imigresen sebelum dibebaskan pada akhir tahun lepas.
Pada 2020, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Azilah untuk dibicarakan semula dan semakan sabitan terhadapnya.
Media melaporkan bahawa Azilah turut memohon pengampunan Diraja daripada Sultan Selangor.
Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS kepada kerajaan Malaysia, dibunuh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006.
Berikutan itu, dua anggota UTK iaitu Sirul Azhar yang semasa kejadian, berpangkat Koperal dan Cif Inspektor Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Shah Alam kerana membunuh Altantuya, pada November 2006.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!