Tiga bekas pemain dijangka meriahkan Pemilihan FAM

Dari kiri: Dollah, Zainal Abidin dan Ramlan
Dari kiri: Dollah, Zainal Abidin dan Ramlan
A
A
A

KESURAMAN Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 15 Februari depan mula 'menyalakan obor kerancakan' apabila tiga bekas pemain dipercayai bertanding dalam pemilihan penggal 2025-2029 kali ini bagi membantu mengembalikan kualiti bola sepak negara ke tahap tertinggi.

Legenda negara, Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan dua bekas pemain Harimau Malaya yang sarat pengalaman pengurusan pasukan dan pengendalian pemain bakal menampilkan diri dalam pemilihan kali ini.

"Datuk Dollah Salleh dan Datuk Zainal Abidin Hassan masing-masing bakal menawarkan khidmat untuk jawatan Naib Presiden serta Exco FAM.

"Dua nama yang bukan asing lagi dalam komuniti bola sepak negara dipercayai akan mewakili kem Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang akan bertanding untuk jawatan Presiden FAM," kata sumber kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Sebelum ini, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, senarai calon yang akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029 pada pertengahan Februari depan akan diketahui penghujung Januari ini.

Malah jelas, Noor Azman Rahman, badan induk itu sudah meng-e-melkan notis kongres dan borang pencalonan bertarikh tutup 16 Januari kepada semua ahli gabungannya pada 25 Disember lalu.

Sementara itu, legenda bola sepak Kuala Lumpur, Datuk Ramlan Askolani juga Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dipercayai akan menawarkan pengalaman buat badan induk tersebut.

"Nama Ramlan juga pemenang hatrik Piala Malaysia edisi 1987, 1988 dan 1989 bersama Kuala Lumpur juga turut berada dalam senarai satu lagi kumpulan pencalonan bagi pemilihan kali ini," kata sumber.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!