Pulau Perhentian destinasi baharu paling pesat terima kehadiran pelancong
SHAH ALAM - Platform percutian digital, Agoda mengumumkan Pulau Perhentian di Terengganu sebagai destinasi baharu paling pesat dengan kehadiran pelancong antarabangsa yang berkunjung ke Malaysia.
Pengarah Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja berkata, pulau peranginan tersebut menduduki tempat ketiga dalam senarai lokasi paling popular untuk 'slow travel' di Asia.
"Kemunculan Pulau Perhentian, Terengganu sebagai destinasi baharu yang semakin menarik minat pelawat antarabangsa mencerminkan peningkatan daya tarikan pantai-pantai indah di Malaysia.
"Pada masa sama, pulau peranginan berkenaan merupakan antara destinasi yang mencatatkan purata tempoh penginapan paling panjang dalam kalangan pelancong.
"Ia menjadi tumpuan pencinta pantai dan penyelam kerana laut yang biru, kaya dengan ekosistem marin, usaha pemuliharaan terumbu karang dan perkhidmatan penerbangan pesawat laut peribadi menjadikannya mudah untuk dikunjungi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, pihaknya amat teruja dengan peningkatan minat pelancong antarabangsa terhadap Pulau Perhentian kerana ia mencerminkan kejayaan usaha berterusan Agoda untuk mempamerkan pelbagai tarikan di Malaysia.
Mengulas lanjut, Fabian memaklumkan, senarai ’Horizon Baharu’ platform Agoda turut menyenaraikan Shah Alam sebagai destinasi domestik yang mencatatkan lonjakan populariti tertinggi bagi pelancong Malaysia.
Ujarnya, walaupun sering dianggap sebagai kawasan perumahan dan perindustrian tetapi ia juga menawarkan pelbagai pilihan destinasi percutian mesra keluarga.
"Antara tarikan di Shah Alam termasuk Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Taman Botani Negara dan kafe yang menjadi tumpuan pengunjung ketika hujung minggu.
"Lokasinya berdekatan dengan Kuala Lumpur dan kos perbelanjaan juga berpatutan menjadikannya destinasi menarik bagi rakyat Malaysia yang ingin bercuti dalam tempoh singkat tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
"Populariti Shah Alam yang semakin meningkat dalam kalangan pelancong domestik menunjukkan perubahan dalam pilihan destinasi percutian rakyat Malaysia yang kini lebih berminat untuk meneroka keunikan destinasi tersembunyi di sekitar mereka.
"Ini menandakan satu kemunculan horizon baharu pada 2025 bagi pelancongan domestik. Di Agoda, kami komited untuk menjadikan perjalanan ini lebih mudah dan menyeronokkan dengan menawarkan tawaran hebat bagi penginapan, penerbangan, serta aktiviti," katanya.
Dalam pada itu, Fabian berkata, Pulau Batam di Indonesia meraih tempat pertama sebagai destinasi antarabangsa yang paling diminati oleh rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara.
Jelasnya, kos perbelanjaan yang rendah, kemudahan pengangkutan feri dan kepelbagaian aktiviti rekreasi termasuk sukan air, golf, 'go-kart' serta aktiviti pantai menjadikan Batam sebagai destinasi idaman bagi pelbagai segmen pelancong.
Menurut Fabian, daya tarikannya turut diperkukuhkan lagi dengan kehadiran pusat membeli-belah bebas cukai dan hidangan makanan tempatan yang lazat.
"Pulau ini menawarkan pengalaman percutian yang seimbang antara ketenangan dan pengembaraan, menjadikan Batam pilihan yang semakin popular dalam kalangan pelancong antarabangsa.
"Seterusnya, Shanghai pula menduduki tempat pertama dalam senarai Horizon Baru iaitu mengatasi destinasi lain sebagai pilihan utama bagi pelancong Asia keseluruhannya. Metropolis China itu kemudiannya diikuti oleh Jeju (Korea Selatan), Paris (Perancis), Nha Trang (Vietnam) dan Fukuoka (Jepun).
"Bagi pelancong yang merancang untuk bercuti pada 2025, anda digalakkan untuk memanfaatkan tawaran hebat di lebih 4.5 juta tempat penginapan percutian dengan 130,000 laluan penerbangan dan 300,000 aktiviti hiburan di platform Agoda. Tawaran terkini boleh didapati melalui aplikasi Agoda atau di agoda.com/deals," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!