Surah al-Mulk ingatkan kebesaran ALLAH
SEREMBAN - Program Quran Hour di Masjid Bandar Enstek di sini bukan sahaja memberi penghayatan tetapi seiring matlamatnya mencapai misi mengQurankan bangsa mengikhlaskan ummah.
Penyelaras Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Gharizah Hashim berkata, ia memfokuskan kepada tema baca, faham dan amal.
"Pengisian Quran Hour pada kali ini membawakan surah al-Mulk yang mengandungi mesej yang kuat tentang kekuasaan ALLAH sebagai pencipta dan penguasa alam semesta.
"Dalam konteks fenomena alam, surah ini mengingatkan manusia tentang kebesaran dan kekuasaan ALLAH, serta mengajak kita untuk merenungi bahawa segala fenomena alam adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.
"Kaitan antara Surah al-Mulk dan cabaran fenomena alam mengajar kita untuk merenungi kebesaran dan kekuasaan ALLAH serta menyedari betapa kecil dan lemah kita di hadapan-Nya," katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai program tersebut yang dianjurkan Masjid Bandar Enstek, RumahNgaji Negeri Sembilan dan Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) wanita Seremban dekat sini baru-baru ini.
Hampir 300 jemaah bersama mengimarahkan majlis menerusi Bandar Enstek #Quranhour yang digerakkan oleh Imam Muda Masjid Bandar Enstek, Ustaz Nasrul Arif.
Tadabbur surah al-Mulk disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Professor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi manakala bacaan surah al-Mulk oleh Qari negara, Ustaz Mohamad Hussaini Mahmur.
Sebagai rekod, surah al-Mulk juga melontarkan kepada enam soalan dan enam jawapan yang menjadi pasak motivasi diri antaranya, keberkatan, memastikan keberkatan dalam amalan dan pekerjaan seterusnya, ingat mati iaitu meningkatkan kualiti dan produktiviti dan doa bersedia untuk mati pada bila-bila masa.
Ujar Gharizah, beliau berharap dengan adanya program #Quran Hour ini, ia dapat memberi manfaat kepada komuniti setempat serta motivasi dalam kebersamaan mencapai misi program.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!