Tiga Geng Atan terlibat kes pecah rumah, curi didakwa

Tiga ahli 'Geng Atan' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan niat mencuri, bulan lepas. Bernama
Tiga ahli 'Geng Atan' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Jumaat atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan niat mencuri, bulan lepas. Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga ahli 'Geng Atan' mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaatn atas pertuduhan melakukan pecah rumah dengan niat mencuri, bulan lepas.

Mah Mun Fei, 46, Liew Siong Khan, 42, dan Teo Kiam Hong, 48, membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa dengan niat ingin mencuri harta milik seorang lelaki iaitu satu unit televisyen di sebuah rumah di Jalan Mutiara Emas 2/17, Taman Mount Austin di sini, pada 8.20 malam, 11 Disember lepas.

Ketiga-tiga tertuduh turut berdepan pertuduhan lain secara berasingan di Mahkamah Majistret Johor Bahru. Foto Bernama
Ketiga-tiga tertuduh turut berdepan pertuduhan lain secara berasingan di Mahkamah Majistret Johor Bahru. Foto Bernama

Mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, ketiga-tiga mereka turut berdepan pertuduhan lain secara berasingan.

Mun Fei mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu keping kad pengenalan atas nama seorang wanita, iaitu tertuduh ada sebab untuk mempercayai bahawa harta itu adalah harta curi di tempat, tarikh dan masa sama dan seksyen serupa dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari ini.

Siong Khan pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melupuskan harta curi iaitu dua cincin emas, seutas rantai emas dan satu loket batu emas milik seorang wanita di sebuah kedai emas dekat Jalan Kota Tinggi - Jalan Pandan di sini, kira-kira 4 petang, 14 Disember 2024.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kiam Hong mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan membabitkan kesalahan memiliki, menyimpan, mencuri dan melupuskan harta curi.

Kiam Hong didakwa menerima atau menyimpan harta curi iaitu satu cincin dan dua gelang tangan berwarna kuning keemasan milik seorang lelaki serta memiliki nombor pendaftaran kenderaan lain.

Dia juga menghadapi pertuduhan menyimpan harta curi iaitu kenderaan jenis Honda H-RV milik seorang wanita, dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu sebuah peti besi milik seorang wanita dan menyimpan sebuah beg jerut serta beberapa alat permainan video milik seorang lelaki, iaitu tertuduh mengetahui semua harta itu adalah harta curi.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar Bandar Baru Permas Jaya, Taman Mount Austin dan Jalan Harmonium 27, di sini, pada 12.30 tengah hari 12 November 2019 dan antara 8.20 malam 11 Disember hingga 3.45 petang, 15 Disember tahun lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman dan Siti Aishah Latif mengikut Seksyen 411 dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam dan kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin masing-masing dengan Mah berjumlah RM7,000; Liew (RM8,000) dan Teo (RM25,000).

Sementara itu, di dua Mahkamah Sesyen, ketiga-tiga tertuduh masing-masing mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memberikan kepada diri mereka dadah jenis amphetamine serta methamphetamine.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C (1)(b) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan sebat sehingga tiga kali, jika sabit kesalahan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Hazeelia Muhammad tidak membenarkan jaminan dan kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi pada 4 dan 7 Feb. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, Nurul Syafiqah Sha'ari dan Siti Fatimah Mamu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!