30 rumah di Taman Sri Bayu terjejas akibat air laut pasang
TUMPAT - Sebanyak 30 rumah penduduk di Taman Sri Bayu di Jubakar Pantai sini, terjejas setiap kali air laut pasang melimpah memasuki rumah mereka susulan jalan negeri yang runtuh akibat gelombang banjir pada November lalu.
Peniaga, Ku Mohamad Khairul Zaidi Ku Din, 35, berkata, air pasang terbabit berlaku pada tengah malam apabila air laut memasuki muara sungai yang terletak kira-kira 100 meter dari tiga jajaran rumah penduduk.
“Air pasang melimpah dan berlaku pada waktu tengah malam sehingga enam kali selepas jalan itu runtuh.
“Apabila paras air di muara sungai lebih daripada 1.7 meter maka ia akan melimpah kerana benteng jalan yang sebelum ini sudah runtuh akibat banjir pada 30 November lalu,” katanya kepada Sinar Harian di sini, pada Jumaat.
Nur Hidayatullah Mohd Attat, 35, pula berkata, kebelakangan ini dia tidak lena tidur kerana berjaga-jaga air pasang masuk ke dalam rumah setinggi 0.2 hingga 0.3 meter.
“10 tahun saya tinggal di sini, tak pernah berlaku keadaan seteruk ini. Tak lena tidur tunggu air surut.
“Air pasang ini merosakkan perabot dan barangan besi seperti pagar. Sebelum ini penat cuci rumah selepas ditenggelami banjir, kali ini pula air pasang besar," ujarnya. Ujar guru tadika itu, banjir pada 29 November lalu, rumahnya ditenggelami air lebih satu meter menyebabkan kelengkapan rumah termasuk televisyen, katil dan almari bernilai kira-kira RM30,000 rosak.
“Saya, suami dan anak berusia lima tahun terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Dato’ Bijiwangsa.
“Sekarang, menjelang petang dan malam memang tak akan tinggal rumah kerana risau air pasang masuk sewaktu kami tiada,” katanya.
Sementara itu, penduduk Abdullah Abdul Kadir, 50, mahu tindakan segera dilakukan oleh pihak berkaitan bagi meringankan beban penduduk berdepan keadaan terbabit.
“Kami mohon pihak berkait termasuk kerajaan negeri segera membaik pulih kawasan runtuhan atau membuat laluan air sementara lebih-lebih lagi jika datang gelombang lain.
“Kami terjejas dengan keadaan ini, malah kereta pun terpaksa diletakkan lebih 200 meter dari rumah kerana bimbang rosak terkena air masin,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!