Janda anak tiga ditangkap khalwat dua kali

Bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Foto: Facebook rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)
Bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Foto: Facebook rasmi Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang janda anak tiga ditangkap khalwat kali kedua bersama teman lelakinya di sebuah rumah sewa di Kuala Ibai di sini pada Rabu lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, kesalahan berulang itu menyebabkan pasangan tersebut boleh dihukum sebat di khalayak ramai mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

"Pasangan tersebut masing-masing berusia 36 dan 32 tahun itu ditangkap khalwat di sebuah rumah sewa milik wanita tersebut pada jam 3 pagi.

"Ketika pihak penguatkuasa JHEAT mengetuk pintu rumah, wanita itu memaklumkan lelaki itu ialah rakannya namun setelah disiasat, lelaki berasal dari Dungun tersebut merupakan lelaki sama yang ditangkap khalwat sebelum ini.

"Jadi ia merupakan kesalahan berulang di mana pasangan itu boleh dihukum sebat atas pertimbangan hakim di khalayak ramai atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Aizi Saidi berkata, pasangan berkenaan telah dibawa ke ke Unit Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Bagaimanapun katanya, pasangan terbabit telah dibebaskan dengan bon jaminan penguat kuasa.

Sementara itu, Aizi Saidi memaklumkan sebanyak 146 kes khalwat direkodkan berlaku di Terengganu sejak awal Januari sehingga Ogos 2024.

Artikel Berkaitan:

"Kemaman merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 42 kes dan diikuti Kuala Terengganu (41 kes); Besut (19 kes); Marang (17 kes); Dungun (13 kes); Setiu (4 kes) dan Hulu Terengganu (2 kes).

"Kebanyakan pasangan yang ditangkap itu merupakan mereka yang sudah bekerja," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!