Jawi nilai semula SOP keselamatan masjid

Jawi diarah menilai semula SOP keselamatan masjid susulan kejadian seorang lelaki kurang siuman mengganggu jemaah di Masjid At-Taqwa, Rabu lepas.
Jawi diarah menilai semula SOP keselamatan masjid susulan kejadian seorang lelaki kurang siuman mengganggu jemaah di Masjid At-Taqwa, Rabu lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarahkan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan masjid susulan kejadian seorang lelaki kurang siuman mengganggu jemaah di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Rabu lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah mengarahkan Jawi untuk menjalankan siasatan rapi memandangkan masjid itu terletak di bawah bidang kuasa pengawasan jabatan berkenaan.

"Saya telah meminta Pengarah Jawi yang baharu, Hanifuddin Roslan untuk membuat siasatan terperinci termasuk menilai semula aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian untuk ditambah baik,” katanya.

Mohd Na'im berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di Majlis Perasmian Kompleks Akademik Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP-UCMI) di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan suspek membuat kekecohan termasuk merosakkan televisyen di masjid itu, mengalami masalah mental sejak April 2022.

Sementara itu, Mohd Na’im meminta umat Islam menghormati ketetapan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang memutuskan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light dan ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem sebagai sesat dan menyeleweng.

"MKI adalah badan tertinggi dengan ahli jawatankuasa MKI terdiri daripada mufti-mufti negeri yang bertauliah serta mempunyai kepakaran daripada sudut akidah. Jadi saya harap keputusan yang dibuat itu difahami oleh rakyat dan kemudian diikuti atas dasar ketaatan kepada pemimpin,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa MKI Datuk Dr Nooh Gadut menerusi kenyataan memaklumkan MKI memutuskan dua ajaran tersebut sebagai sesat dan menyeleweng serta bercanggah dengan ajaran Islam dan hukum syarak.

Artikel Berkaitan:

Antara ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.

Manakala bagi ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem, Nooh berkata antara ciri penyelewengan ajaran itu adalah mendakwa Allah SWT harus mempunyai anak dan Allah SWT seolah-olah mempunyai sifat dan jisim sama seperti makhluk.

Sementara itu, Hanifuddin dalam kenyataan memaklumkan Jawi menerusi Bahagian Pengurusan Masjid telah meminta pihak Masjid At-Taqwa untuk meningkatkan lagi keselamatan kawasan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan rasa kesal dengan tindakan seorang jemaah yang bertindak kasar kepada individu tersebut yang tidak selari dengan cara Islam dalam menangani masalah.

"Jawi mengucapkan terima kasih pada pihak Polis Diraja Malaysia atas tindakan pantas mereka dalam menahan individu berkenaan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!