Malaysia catat nilai perdagangan tertinggi RM2.62 trilion Januari-November 2024
JUMLAH perdagangan Malaysia bagi tempoh Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM2.62 trilion, mencatatkan nilai tertinggi untuk tempoh tersebut, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, dari aspek industri, sebanyak 50 peratus daripada Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) telah atau sedang dilaksanakan sejak dilancarkan pada 2023.
"Ini termasuk Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS),” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau mengenai pencapaian tahun 2024 pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaburan yang diluluskan telah mencecah RM254.7 bilion, meningkat 10.7 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024.
"Hampir 160,000 pekerjaan baharu akan dijana daripada hampir 4,800 projek yang diluluskan, pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 76 peratus dari segi penciptaan pekerjaan dan 21 peratus dalam kelulusan projek,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai peneraju tonggak ekonomi sempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini perlu menyerlahkan kebolehan dalam memimpin rantau ini dengan merealisasikan potensi ekonomi ASEAN sepenuhnya.
"Ini seiring dengan tema yang diangkat iaitu Keterangkuman dan Kemampanan. Jika kita benar-benar fokus, saya yakin impak positif kepada rantau ini akan melangkaui tempoh Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!