MCA akan sertai himpunan solidariti untuk Najib Isnin ini

Tangkap layar kenyataan MCA menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
Tangkap layar kenyataan MCA menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - MCA akan menyertai Himpunan Solidariti yang akan diadakan di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini untuk menunjukkan sokongan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

MCA berkata, parti itu telah dimaklumkan oleh UMNO berhubung perhimpunan tersebut sejak dua minggu lalu.

“MCA telah dimaklumkan oleh UMNO menerusi kepimpinan UMNO di peringkat pusat, negeri dan bahagian masing-masing sejak dua minggu lalu.

“Ahli MCA di peringkat akar umbi dijangka akan menyertai himpunan ini untuk menunjukkan solidariti bersama Najib.

“MCA menyeru kepada para pemimpin dan ahli MCA di semua peringkat supaya dapat bersama-sama menyertai himpunan aman ini nanti bagi menegakkan keadilan dan menuntut kebenaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, dilaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Susulan itu, himpunan terbabit dilakukan sebagai bentuk sokongan daripada ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas presiden parti itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, MCA menegaskan pendiriannya berhubung isu Titah Adendum yang didakwa membenarkan Najib menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

“Semasa sambutan Ulang Tahun ke-50 Barisan Nasional (BN) pada 7 Disember lalu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dengan lantang menyatakan pendirian parti iaitu mahu kerajaan mengesahkan secara terbuka sama ada Titah Adendum tersebut wujud atau sebaliknya.

“MCA kekal dengan pendirian menghormati keputusan mahkamah terhadap apa jua kes yang diputuskan tetapi bagi isu kewujudan Titah Adendum ini, MCA menuntut kerajaan berterus terang. Jika ada kata ada, jika tiada kata tiada.

“MCA menyifatkan penting kerajaan berterus terang berhubung persoalan ini apatah lagi ia terkait dengan prinsip Rukun Negara, antaranya kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” ujarnya.

Sementara itu, MCA berkata, Pengerusi Biro Penerangannya, Chan Quin Er akan mewakili parti itu dalam forum bertajuk ‘Pengampunan Diraja: Skop dan Halangan’ yang akan diadakan di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang Sabtu.

“Beberapa panelis yang merupakan pakar undang-undang terkemuka juga diundang untuk memberi pandangan masing-masing dalam forum berkenaan,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!