Giliran Nurulloev, Cleylton dan Faiz pula tinggalkan KDA FC
KEDAH Darul Aman (KDA) FC hilang tiga tonggak lagi bagi baki saingan Liga Malaysia 2024-2015 selepas Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir meninggalkan kelab tersebut pada Januari.
Sang Kenari dalam satu kenyataan berkata, Sukhrob dari Uzbekistan dan Cleylton dari Brazil telah mencapai persetujuan bersama bagi penamatan kontrak untuk mengembangkan karier di liga luar Malaysia.
Faiz pula telah tamat tempoh sebagai pemain pinjaman dari Terengganu FC.
"Terima kasih kepada Sukhrob Nurulloev, Cleylton Santos dan Faiz Nasir atas sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang mereka bersama pasukan Sang Kenari.
"Kehadiran mereka telah memberikan impak besar di atas padang dengan ketangkasan serta komitmen yang tidak pernah berbelah bahagi," katanya pada Jumaat.
KDA FC yang dalam persiapan untuk menghadapi saingan Liga Super pada 10 Januari ini berdepan Kelantan Darul Naim (KDN) FC kini menghadapi masalah kekurangan pemain yang hadir latihan sejak Ahad lalu.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Interim KDA FC, Victor Andrag menzahirkan kebimbangan tentang persiapan pasukannya apabila hanya menerima kehadiran kurang daripada 50 peratus pemain yang hadir menjalani latihan.
Menurutnya, beliau berharap jumlah kehadiran pemain akan bertambah dari hari ke hari kerana mereka mempunyai tempoh seminggu lagi untuk memulakan aksi Liga Super.
"Perkembangan semasa ini agak membimbangkan saya dari aspek persiapan pasukan kerana persiapan kecergasan sangat penting dalam usaha untuk memantapkan pasukan," katanya selepas sesi latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH), dekat sini pada petang Khamis.
Sebelum ini, beberapa pemain KDA FC telah meninggalkan kelab tersebut disebabkan oleh kemelut kewangan ada jendela perpindahan kedua Liga Super Ogos lalu.
Tiga pemain tersebut adalah ketua pasukan, Habib Haroon membawa haluan ke Bahrain dengan menyertai Sitra SC manakala dua lagi adalah penjaga gol iaitu Fikri Che Soh memilih untuk membawa haluan ke KDN FC dan Kalamullah Al-Hafiz menyertai Selangor FC.
Pada November pula, perancang Sang Kenari, Sony Norde menjadi pemain keempat meninggalkan KDA FC untuk menyertai sebuah kelab Liga 1 Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!