Kematian kucing di UM akibat serangan binatang liar, tiada unsur dera

Azry (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur pada Jumaat.
Azry (tengah) dalam sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Empat daripada lima ekor kucing yang ditemui mati dalam kampus Universiti Malaya (UM) di sini disahkan akibat serangan binatang liar dan tiada unsur penderaan manusia.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, polis menerima lima laporan berhubung penemuan lima bangkai kucing masing-masing pada 17, 20, 21 dan 25 Disember lalu dan laporan terbaharu diterima pada 2 Januari.

Katanya, hasil siasatan dan bedah siasat oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menunjukkan dua bangkai kucing yang ditemui pada 17 Disember lalu mengesahkan punca kematian sebagai gigitan haiwan dipercayai serangan anjing dan tiada unsur penderaan.

“Bedah siasat untuk dua bangkai kucing yang ditemui pada 20 dan 25 Disember lalu juga tidak menemukan sebarang unsur penderaan manusia pada kedua-dua bangkai kucing terbabit.

"Bedah siasat mendapati punca kematian dua kucing itu akibat kecederaan parah pada bahagian toraks atau dada yang mengakibatkan luka dan pendarahan di bahagian jantung seterusnya menyebabkan kekurangan darah serta kegagalan sistem peredaran darah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kesan kecederaan bagi bangkai kucing yang ditemui pada 20 Disember lalu itu adalah pada tiga kaki yang kesemuanya adalah kesan koyak tidak sekata, tulang kaki patah tidak sekata dan tidak berpunca daripada sebarang objek tajam.

Tambahnya, bangkai kucing yang ditemui pada 25 Disember pula mengalami patah tulang rusuk kiri selain kesan koyakan pada jantung yang selari berpunca dari tusukan rusuk yang patah dan terdapat tiga luka koyakan yang berbeza pada bahagian perut.

Azry Kamar berkata, setakat ini sebanyak 11 rakaman percakapan telah diambil daripada kalangan pensyarah, penuntut, polis bantuan, aktivis haiwan dan doktor veterinar.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai status kes terkini pada 2 Januari, beliau berkata, bangkai kucing sudah diserahkan kepada DVS dan proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa terdekat.

"Tiga individu sudah dirakam percakapan terdiri daripada pengadu, rakan pengadu dan kakitangan keselamatan di universiti terbabit.

"Siasatan masih diteruskan dengan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut beliau, pihak polis serta DVS sedang dalam perbincangan dengan pihak universiti untuk sebarang tindakan lanjut termasuk menangkap berhubung kumpulan anjing liar yang terdapat di kampus UM.

Dalam pada itu, katanya orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini bagi mengelakkan berlaku kegelisahan terhadap orang ramai.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat disarankan untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

Sidang media turut disertai Pengarah Bahagian Regulatori DVS, Dr Mohd Razli Abdul Razak; Pengarah Makmal Veterinar Zon Tengah DVS, Dr Mohd Shafarin Shamsuddin dan Ketua Seksyen Kebajikan Haiwan DVS, Dr Marzuna Md Yunus.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Mohd Razali Mohd Idrus.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!