513 CCTV jenis analog dinaik taraf kepada jenis IP

Kon Yeow (duduk: lima dari kiri) bergambar dengan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang bersama 24 Ahli Majlis MBPP di hadapan Dewan Bandaraya pada Jumaat.
Kon Yeow (duduk: lima dari kiri) bergambar dengan barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang bersama 24 Ahli Majlis MBPP di hadapan Dewan Bandaraya pada Jumaat.
A
A
A

GEORGE TOWN - Sebanyak 513 unit kamera litar tertutup (CCTV) jenis analog di kawasan pulau akan dinaik taraf kepada jenis Internet Protocol (IP) yang mempunyai spesifikasi teknikal lebih tinggi dan dilengkapi dengan program analitik video pada tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sehingga kini, sebanyak 1,089 unit CCTV telah dipasang oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di kawasan pulau.

"Dalam usaha MBPP untuk meningkatkan keselamatan dan penguatkuasaan, sebanyak 1,089 unit CCTV telah dipasang di seluruh kawasan pulau selain 513 unit CCTV jenis analog akan dinaik taraf kepada jenis Internet Protocol (IP) pada tahun ini.

"MBPP perlu terus komited dalam mengintegrasikan teknologi hijau ke dalam usaha membangunkan bandar, memacu transformasi digital serta mempertahankan Outstanding Universal Value di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

"Pendekatan ini adalah bagi memastikan Pulau Pinang membangun sebagai sebuah negeri yang mengutamakan pertumbuhan sosio ekonomi, selain merangka serta melaksanakan projek pembangunan dan program berdaya tahan dan mampan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Upacara Pengakuan Penerimaan Jawatan Ahli Majlis MBPP di Dewan Bandaraya, Jalan Padang Kota Lama di sini pada Jumaat.

Kon Yeow turut berharap agar penyediaan kemudahan awam dan menaiktaraf infrastruktur demi kepentingan sosio-ekonomi pembayar cukai masih menjadi komitmen serta keutamaan MBPP.

"Saya juga berharap MBPP akan terus menekankan kepentingan kebersihan untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk dan pelaksanaan program-program kehijauan serta keceriaan bandar," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 24 Ahli Majlis yang terdiri daripada empat muka baharu dan 20 orang yang telah disambung perkhidmatan untuk menggalas tugas dan meneruskan tanggungjawab bagi tempoh satu tahun bermula 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Mengulas mengenai perkara itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri meletakkan keyakinan tinggi kepada kesemua Ahli Majlis untuk meneruskan tradisi dan kerja cemerlang dengan lancar, sekaligus memantapkan serta memperkasakan organisasi MBPP secara keseluruhannya.

"Sebagai penghubung antara kerajaan negeri dan rakyat, saya berharap semua Ahli Majlis faham dengan peranan masing-masing serta peka terhadap situasi dan keadaan semasa.

"Ia bagi membolehkan produktiviti dan juga sistem penyampaian perkhidmatan dapat dilaksanakan mengikut keperluan rakyat, seiring dengan matlamat ke arah memperkasakan Agenda Perbandaran serta ke arah usaha merealisasikan Visi Penang2030," katanya.

Tambah beliau, visi itu khususnya berkait rapat dengan pelaksanaan Inisiatif Strategik C4 iaitu Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi.

"Tahun 2025 bermulanya separuh akhir penggal terakhir bagi saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang sekali gus memasuki fasa ketiga pelaksanaan Visi Penang2030.

"Saya berharap semua Ahli Majlis serta penjawat awam lain mengambil pendekatan menjalankan tugas dengan lebih progresif dan proaktif bagi memastikan setiap tema di bawah Visi Penang2030 dapat dicapai, terutamanya Inisiatif Strategik C4 sebagaimana ditekankan sebelum ini," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!