UNSC adakan sidang tergempar berhubung serangan Israel ke atas hospital di Gaza
NEW YORK - Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan sidang tergempar pada Jumaat bagi membincangkan situasi yang semakin meruncing di Timur Tengah, terutamanya berkaitan isu Palestin, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Mesyuarat itu diminta oleh Algeria yang kini memegang jawatan presiden bergilir-gilir Majlis Keselamatan PBB dari 1 hingga 31 Januari 2025.
Sidang itu akan memberi tumpuan kepada serangan Israel yang menyasarkan kemudahan kesihatan di Gaza, termasuk serangan baru-baru ini ke atas Hospital Al-Shahid Kamal Adwan di utara Gaza.
Dalam sidang media di ibu pejabat PBB, New York pada Khamis, Wakil Tetap Algeria ke PBB, Duta Amar Bendjama menegaskan bahawa keutamaan kepengerusian Algeria merangkumi beberapa isu penting dengan perjuangan Palestin menjadi fokus utama.
Bendjama turut mengumumkan rancangan untuk mengadakan sesi terbuka mengenai Palestin pada 20 Januari yang akan diadakan di peringkat menteri dan dipengerusikan oleh Menteri Luar Algeria, Ahmed Attaf.
Selain itu, Majlis Keselamatan akan mengadakan sesi khas pada minggu ketiga Januari untuk membincangkan mengenai Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA).
"Kami berharap untuk mencapai kesepakatan dalam mesyuarat ini bagi memastikan sokongan berterusan terhadap UNRWA daripada Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan.
"Bagi Algeria, UNRWA adalah entiti yang tidak boleh diganti dan mesti terus melaksanakan mandatnya," kata Bendjama.
Memetik kenyataan Presiden Algeria, Abdelmadjid Tebboune, Bendjama menegaskan komitmen teguh Algeria terhadap perjuangan Palestin.
"Sejak menyertai Majlis Keselamatan, Algeria telah berjuang untuk Palestin. Algeria tidak akan meninggalkan Palestin sehingga ia berjaya menubuhkan negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
"Kami berdiri bersama Palestin dan semua rakyat yang tertindas di seluruh dunia serta akan terus mengetengahkan perjuangan mereka.
"Penderitaan rakyat Palestin dan keadaan dahsyat di Gaza tetap menjadi keutamaan utama Algeria," katanya. - Bernama-WAFA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!