Empat suspek diburu samun dua pelancong warga China

No Image Caption
A
A
A

BENTONG - Empat lelaki diburu selepas menyamun dua pelancong warga China di Pekan Gohtong Jaya, dekat Genting Highlands pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa membabitkan seorang lelaki berusia 26 dan wanita berusia 27 tahun.

Menurutnya, anggota balai Genting Highlands menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam kira-kira jam 7.40 petang.

"Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang berjalan kaki di Pekan Gohtong Jaya sebelum didatangi empat suspek lelaki yang tidak dikenali.

"Suspek telah menarik kedua-dua mangsa masuk ke dalam kereta jenis BMW dan berlaku pergelutan antara mereka," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, mangsa wanita berjaya keluar daripada kenderaan tersebut dan melarikan diri manakala seorang lagi telah dilarikan suspek.

"Mangsa lelaki kemudiannya telah ditinggalkan di tepi jalan setelah suspek mengambil sejumlah wang tunai dan membuat pindahan ke akaun milik suspek.

"Kedua-dua mangsa mengalami cedera ringan dan telah menerima rawatan di hospital," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau memberitahu pihak polis telah menjalankan siasatan dan sedang giat memburu kesemua suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365/394 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di talian 09-2222222 atau mana-mana balai berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!