Megat D Shahriman minat terajui FAM

Megat D Shahriman. Foto Bernama
Megat D Shahriman. Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, menyatakan minat untuk menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjelang pemilihan Kongres FAM bagi penggal 2025-2029 yang dijadualkan pada 15 Februari depan.

Megat D Shahriman berkata, bola sepak mempunyai tempat yang istimewa dalam hidupnya dan beliau secara peribadi mengikuti perkembangan semasa pasukan negara serta isu-isu dalam FAM.

Beliau berkata, sekiranya diberi peluang memimpin badan induk bola sepak negara itu, langkah pertama yang akan diambil adalah meneliti akaun kewangan dan liabiliti persatuan tersebut secara mendalam.

"Jika saya diberi peluang untuk menjadi Presiden FAM, perkara pertama yang akan saya lakukan adalah meneliti akaun dan liabiliti FAM, berapa banyak dana yang ada, dan apa pendedahan kewangan kita. Dari situ, kita boleh melihat ke mana ia disalurkan," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau juga menekankan kepentingan memastikan ahli-ahli gabungan FAM menerima maklumat penuh tentang pergerakan kewangan persatuan dan berunding semula dengan mereka mengenai hala tuju yang diinginkan untuk masa depan.

"Pendekatan ini penting untuk memastikan keberlangsungan dan integriti FAM, terutamanya jika persatuan berdepan dengan cabaran kewangan," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran besar berhubung dakwaan wujudnya ‘tangan ghaib’ dalam bola sepak negara, Megat D Shahriman berkata, perkara tersebut perlu ditangani dengan bijaksana tanpa menggadaikan prinsip dan perlembagaan sekiranya benar wujudnya.

Berdasarkan statut FAM, mana-mana individu boleh bertanding untuk jawatan presiden dengan syarat memperoleh pencalonan mencukupi daripada ahli gabungan dengan sebanyak enam pencalonan diperlukan untuk merebut jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan ahli korporat Sayf Ismail antara yang telah menawarkan diri untuk bertanding merebut jawatan presiden.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dikatakan sebagai calon yang ‘direstui’ untuk menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.

Tarikh tutup pencalonan adalah pada 16 Januari ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!