Keterangan Hannah akan direkod dalam masa terdekat - Polis
KUALA LUMPUR - Polis akan merekod keterangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam masa terdekat mengenai buku 'Becoming Hannah'.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, terdapat 157 laporan polis di seluruh negara termasuk lapan di ibu negara.
"Daripada jumlah itu, kita telah merekodkan 45 individu.
"Buat masa ini Hannah Yeoh belum direkod keterangan dan akan dirakam dalam masa terdekat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini pada Jumaat.
Pada 30 Januari 2020, Hannah dilaporkan memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan dibuat semasa ucapannya dalam satu forum Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Beliau mendakwa Musa antara lain menuduhnya menulis buku 'Becoming Hannah' untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian, mempunyai hubungan dengan pendakwah Evangelis dan Yahudi untuk merosakkan Islam serta Malaysia serta mengutamakan kepentingan peribadi melebihi kepentingan negara.
Susulan kes itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember 2024 menolak saman fitnah yang difailkan Ahli Parlimen Segambut itu.
Dalam kes berasingan, polis mengesahkan punca kematian wanita warga emas yang sebelum ini dilaporkan parah akibat satu kejadian ragut di Bangsar, di sini, pada 7 Oktober lalu, akibat pneumonia.
Kata Azry Akmar, perkembangan terbaharu itu sudah pun dimaklumkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan sudah rujuk semula kepada Pejabat Pendakwaan Negeri untuk arahan lanjut.
"Polis sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak TPR berhubung tindakan seterusnya sama ada akan menukar klasifikasi kes kepada kes bunuh atau sebaliknya," ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan wanita warga emas itu dilaporkan meninggal dunia, pada 30 Disember lalu.
Mangsa, Lim Foong Mei, 78, sebelum ini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengalami pendarahan serius pada kepala akibat kejadian ragut itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!