SPRM tahan lelaki warga asing cuba sogok pegawai polis
KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman warga asing disyaki cuba memberi rasuah hampir RM4,000 kepada pegawai polis untuk melepaskan seorang rakannya yang ditahan atas kesalahan mencuri.
Suspek lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira jam 1 tengah hari semalam, ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Kuala Selangor, Selangor.
"Siasatan awal mendapati suspek yang merupakan pekerja kilang di sekitar Lembah Klang telah melakukan kesalahan tersebut di dalam sebuah bilik di Balai Polis Kuala Selangor pada Rabu lepas dan memberikan rasuah kepada seorang pegawai polis,” menurut sumber.
Sumber memaklumkan perintah reman selama tujuh hari hingga 9 Januari ini dikeluarkan Majistret Siti Hajar Ali selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Selangor, pagi Jumaat.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selango.r Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!