Semua pihak diminta hormati kuasa prerogratif Agong - Kulasegaran
IPOH - Semua pihak diminta untuk menghormati kuasa prerogratif Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi banduan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara itu adalah jelas mengikut lunas undang-undang.
"Kenyataan itu sangat jelas berhubung lunas-lunas (kuasa prerogatif) yang termaktub di bawah Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
"Suka atau tidak, itulah undang-undang yang perlu kita hormati selari dengan prinsip Rukun Negara.
"Saya harap masyarakat akan ikut arahan dan menghormati pandangan yang telah dikeluarkan berkaitan perkara tersebut," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 60 mangsa banjir di Arena Kepayang Putra, Fair Park di sini pada Jumaat.
Terdahulu, Istana Negara melalui kenyataannya berkata, permohonan pengampunan atau pengurangan hukuman bagi mana-mana banduan hendaklah dikemukakan sendiri oleh individu berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Media melaporkan isu pengampunan banduan mencetus perdebatan susulan kes membabitkan Datuk Seri Najib Razak dalam perkara berkaitan Titah Adendum untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menghabiskan baki tempoh hukumannya kepada tahanan di rumah.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan Najib bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin ini untuk mendengar rayuan Najib berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!