Polis Marin berjaya rampas 655 bungkusan mercun
LUMUT - Pasukan Polis Marin telah menahan seorang lelaki yang disyaki menyimpan dan menjual mercun tanpa permit sah di sebuah rumah di Taman Mas, Kampung Koh dekat Sitiawan pada Jumaat.
Suspek berusia 38 tahun itu berjaya ditahan hasil risikan yang dijalankan Unit Risikan Marin (URM) Kampung Acheh menerusi Ops Musim Perayaan Tahun Baharu Cina.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rusley Chi Ari berkata, serbuan sekitar jam 11 malam itu berjaya merampas mercun pelbagai jenis bernilai RM25,150.
"Pasukan merampas sebanyak 29 kotak yang mengandungi 655 bungkusan mercun pelbagai jenis yang dijumpai disimpan didalam sebuah bilik di rumah terbabit.
"Suspek dipercayai mulai aktif dalam aktiviti penjualan mercun sejak dua minggu lalu dan disyaki menjadi pengedar kepada kedai-kedai runcit di kawasan berdekatan," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, hasil soal siasat dapati suspek tidak mempunyai permit menyimpan dan menjual yang sah.
"Semakan mendapati suspek yang juga warga tempatan itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Pplos Daerah (IPD) Manjung untuk tindakan lanjut.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen Akta Bahan Letupan 1957," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!