Masjid Jamek Beseri jadi tuan rumah pertama Jelajah Sinar Harian Untuk Rakyat di Perlis

Dr Mohd Akram
Dr Mohd Akram
A
A
A

KANGAR - Masjid Jamek Beseri buat julung-julung kalinya bakal menjadi tuan rumah Jelajah Sinar Harian Untuk Rakyat di Perlis yang akan berlangsung pada Sabtu.

Pengerusinya, Profesor Madya Dr Mohd Akram Dahaman berkata, Masjid Jamek Beseri menyambut baik pemilihannya sebagai lokasi pertama program jelajah berkonsepkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.

Beliau berkata, program jelajah dilaksanakan Sinar Harian dengan kolaborasi penaja utama Yayasan Bank Rakyat (YBR) amat bermanfaat, sekaligus membantu masyarakat setempat.

"Apabila ada pihak luar berhasrat datang untuk mengimarahkan masjid, kami memang amat mengalu-alukan dan seronok apabila orang ramai akan bersama-sama memeriahkan Masjid Jamek Beseri.

"Disebabkan itu, kami amat mengalu-alukan pemilihan Masjid Jamek Beseri sebagai lokasi jelajah,sekaligus akan melakukan yang terbaik untuk menjayakannya,"katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berharap lebih banyak program kemasyarakatan seumpama itu melibatkan masjid diadakan pada masa-masa akan datang.

Menurutnya, program terbabit perlu diadakan berterusan memandangkan ia membolehkan masjid menyantuni dan membantu masyarakat Islam dan juga bukan Islam.

Beliau berpandangan, program ini turut membuktikan keprihatinan pelbagai pihak untuk membantu masyarakat berbeza agama atas dasar kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

"Di Beseri, terdapat ramai masyarakat Siam, jadi kita tidak semata-mata tumpu masjid sebagai pusat orang Islam, tetapi orang bukan Islam turut dijemput menerima bantuan," katanya.

Dalam perkembangan sama, tambah Dr Mohd Akram, pihak masjid juga amat berbesar hati dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang akan menyempurnakan masjlis perasmian Jelajah Sinar Harian untuk Rakyat itu.

"Sebelum itu, baginda juga akan mencemar duli mengetuai kayuhan basikal sebelum singgah untuk menyerahkan bantuan kepada asnaf dan penduduk memerlukan di kawasan Beseri,"katanya.

Tambah Dr Mohd Akram,program jelajah selama dua hari terbabit menghimpunkan pelbagai akiviti menarik termasuklah gotong-royong,kayuhan basikal, kenduri, bakul rezeki, pemeriksaan kesihatan dan kuliah maghrib dan ceramah motivasi.

Sehubungan itu, Dr Mohd Akram berkata, masyarakat setempat di Beseri dialu-alukan untuk bersama-sama memeriahkan Jelajah Sinar Harian untuk Rakyat ini.

Beliau memaklumkan,pihaknya telah mewar-warkan program jelajah kepada penduduk di empat kampung yang menjadi kariah masjid,sekaligus menyasarkan kehadiran sehingga 1,000 penduduk.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!