'Buntu anak tiada Mykad’
SHAH ALAM – Seorang pemandu kren buntu apabila dua anaknya tidak mempunyai kad pengenalan diri apabila ibu kandung mereka, warga Indonesia hilang tanpa khabar berita.
Zol Zam Zam, 53, berkata, isterinya yang dikenali sebagai Norhayati, 40-an keluar dari rumah pada tahun 2009 lalu untuk pulang menjenguk ibu bapa di Indonesia.
Katanya, dia berusaha mencari bekas isterinya bagi menguruskan proses dokumentasi untuk dua anak perempuannya Razsamiza, 16, dan Razsafina, 14.
“Lebih malang lagi dokumen kelahiran anak-anak dipegang oleh bekas isteri saya. Jadi saya berdepan masalah untuk menguruskan pendaftaran dokumentasi dan kewarganegaraan mereka,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Zol berkata, walaupun dia warga tempatan tetapi dua anaknya tidak dapat bersekolah kerana tiada sijil pengenalan diri seperti remaja lain dan seolah-olah menjadi pendatang asing di negara sendiri.
Justeru katanya, orang ramai yang pernah atau mengenali bekas isterinya diminta tampil menghubunginya di talian 016-8128870.
“Saya amat berharap jika ada sesiapa yang mengenali atau mengetahui nombor telefonnya supaya dapat menghubungi saya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!