PAC cadang panggil pemegang taruh, bincang peningkatan kos rawatan kesihatan
KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bercadang untuk memanggil pemain industri kesihatan bagi mendapatkan input berkenaan caj rawatan tinggi yang dikenakan kebanyakan hospital swasta.
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, prosiding tersebut yang dijadualkan bermula pada sesi mesyuarat Dewan Rakyat bulan depan melibatkan wakil syarikat insurans, pihak hospital swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
"Prosiding akan memakan masa kerana isu ini sangat kompleks, mungkin berlangsung selama setahun dan melibatkan banyak perkara.
"Kita harap rakyat dapat bersabar, tetapi PAC beri jaminan akan percepatkan prosiding itu," katanya ketika ditemui selepas sesi dialog 'Kesihatan untuk siapa: Implikasi peningkatan kos perubatan terhadap sistem kesihatan negara' pada Jumaat.
Sebelum ini media melaporkan, premium insurans perubatan dijangka meningkat antara 40 dan 70 peratus, dipercayai didorong penggunaan pelbagai teknologi canggih yang tersedia di hospital swasta.
Susulan itu, Tze Tzin dan beberapa ahli Parlimen lain menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat serta mengkaji semula perkara tersebut.
Dalam pada itu beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAC turut mendesak kerajaan mewujudkan satu badan kawal selia khusus untuk mengawal kenaikan caj yang dikenakan kepada pesakit di hospital swasta.
Ini kerana menurutnya, tiada pihak yang mampu dan mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.
"Sekarang mereka (hospital swasta) boleh buat apa sahaja, tiada siapa yang boleh masuk untuk siasat dan mengawal.
"Ia perlu diperbetulkan dan sebagai ahli Parlimen, saya akan desak agenda untuk adakan badan kawal selia menerusi PAC (dengan) memanggil semua pemegang taruh berkaitan bagi mendapatkan pandangan mereka.
"Kita bukan mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi mahukan satu sistem yang adil di masa akan datang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!