[VIDEO] Isu pemilihan Pengerusi PH Sabah belum selesai, PKR tak setuju

A
A
A

KOTA KINABALU - Isu pemilihan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah belum selesai sebaliknya masih menunggu kata putus daripada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Sazaly Donol berkata, jawatan tersebut adalah milik PKR dan sepatutnya ia diputuskan oleh Anwar.

Sazaly ketika ditemui pemberita sebaik keluar dari kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sazaly ketika ditemui pemberita sebaik keluar dari kediaman rasmi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

"Belum lagi, saya terus terang akan diputuskan oleh Pengerusi PH pusat. Saya nampak Datuk Ewon Benedick (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pun bercakap, Christina pun bercakap (Pengerusi Biro Politik PKR Sabah, Datuk Seri Christina Liew), sebenarnya perkara itu akan diputuskan oleh pengerusi.

"Tetapi kena faham, kebiasannya daripada dulu tiada pemilihan, di Sabah ini kuota PKR itu yang penting. Itu dia (Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe) yang cakap (tiada kuota)," katanya ketika ditemui pemberita sebaik keluar dari kediaman Ketua Menteri di Sri Gaya, di sini pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu kekal dengan pendirian bahawa PKR Sabah tidak bersetuju dengan pemilihan Ewon sebagai Pengerusi PH Sabah.

"Saya tidak mahu itu (tunggu pemilihan seterusnya), terserah kepada Pengerusi PH pusat, biar mereka putuskan. Tetapi asasnya, tidak pernah berlaku pemilihan, cuma yang kita persoalkan pengerusi yang mengendalikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) itu kita persoalkan dari Kuala Lumpur.

"Kita tidak tahu pun, yang menjalankan pengerusi itu dari Kuala Lumpur, dari Amanah. Jadi ertinya tidak boleh dia mempengerusikan, itu yang kita tidak puas hati. Sebab kita sudah minta tangguh, tapi dia tidak mahu tangguh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sazaly dalam pada itu turut mempertikaikan kedudukan UPKO yang masih muda dalam gabungan tersebut kerana baru saja menyertai PH.

"Mereka macam mahu juga jawatan itu, sedangkan mereka baru masuk kelmarin, jadi bagaimana mahu jadi pengerusi. Kalau dia lama tidak apa, ini baru. Kalau DAP masih lagi okay, DAP masih lagi baru bah. Kalau saya tidak bersetuju.

"Ini PKR memang tidak mahu Pengerusi PH kepada UPKO sebab mereka parti kecil dan dia baru masuk kelmarin (baru masuk PH)," katanya.

Bagaimanapun, Sazaly menafikan wujud krisis dalaman antara parti dalam gabungan tersebut dan ia langsung tidak menjejaskan hubungan antara parti.

"Sebenarnya ini tidak boleh dikategorikan krisis dalaman sebab saya nampak sekarang tiada masalah, kami-kami saja," katanya.

Sebelum itu, pengamal media menanti selama empat jam di pekarangan kediaman rasmi, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Sri Gaya, di sini, selepas menerima maklumat terdapat pertemuan antara pimpinan MPN Sabah bersama Hajiji.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!