Umat Islam bertanggungjawab imarahkan masjid
IPOH - Umat Islam bertanggungjawab untuk terus mengimarahkan masjid supaya tidak lagi terpinggir daripada masyarakat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah bertitah, masjid boleh diimarahkan menerusi penganjuran pelbagai aktiviti yang dirancang ahli jawatankuasa masjid serta pegawai masjid.
“Mengimarahkan masjid adalah tanggungjawab yang wajib dipenuhi oleh mereka yang telah bersedia menerima amanah, dilantik sebagai ahli jawatankuasa masjid, begitu juga dalam kalangan mereka yang dilantik sebagai pegawai masjid.
“Jika tidak memenuhi tanggungjawab secara ikhlas, bersungguh dan komited, sebenarnya dia tidak berlaku adil kepada qariah, dan bersifat tidak memenuhi janji kepada ummah,” titah baginda pada Sambutan Jubli Emas Masjid Sultan Idris Shah di sini, hari ini.
Sementara itu, baginda bertitah, masjid yang sudah dibina wajib dibangunkan dengan pengisian yang bermakna dihidupkan oleh individu yang ikhlas, bersungguh-sungguh serta komited mahu mengembangkan syiar Islam.
“Diharapkan, supaya masjid ini akan terus mencipta pencapaian yang lebih cemerlang 50 tahun dari sekarang dan mencatatkan sejarah kejayaan yang lebih gemilang ketika menyambut ulang tahun usia keseratus pada tahun 2068 nanti,” titah baginda.
Masjid Sultan Idris Shah II, diiktiraf sebagai Masjid Negeri Perak Darul Ridzuan dan telah dibuka dengan rasmi oleh Sultan Perak ke-33, Almarhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakil-Allallahi pada 15 November 1968.
Difahamkan dalam empoh 50 tahun, masjid itu melalui pelbagai fasa penambahbaikan, pembesaran secara fizikal dan dibangunkan dengan pelbagai kegiatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!