Teka-teki kuasa boleh gugat ekonomi
SEMALAM isu peralihan kuasa, hari ini masih cerita peralihan kuasa, esok juga tetap kemelut peralihan kuasa.
Bahkan hampir setiap bulan arena politik negara dihangatkan dengan polemik peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Dr Mahathir berulang kali menegaskan bahawa beliau akan menunaikan janji menyerahkan jawatan itu kepada Anwar apabila tiba masanya.
Anwar pula sudah berulang kali menyatakan sokongan beliau kepada Dr Mahathir.
Begitupun entah dari mana silapnya, ada saja pihak yang cukup gemar mengungkit perkara tersebut.
Semuanya mempertahankan hujah masing-masing dan mengemukakan pelbagai ‘dalil’ bagi menyokong sama ada Dr Mahathir patut kekal sehingga akhir penggal mahupun Anwar mesti diangkat sebagai Perdana Menteri kelapan.
Bagi Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abd Muis, polemik peralihan kuasa itu harus dihentikan segera kerana ia memberi kesan kepada negara.
Menurutnya, perbincangan mengenai peralihan kuasa yang tidak berkesudahan mampu menggugat kestabilan politik negara, menjejaskan keyakinan pelabur dan rakyat malah menjejaskan perpaduan dalam kerajaan itu sendiri.
“Yang pasti, kalau perkara ini berlarutan, ia bukan sahaja akan jejaskan ekonomi, bahkan aspek lain dalam kehidupan seperti perpaduan kaum. Orang melihat ini sebagai gangguan kepada apa yang sepatutnya berlaku dan apa yang kerajaan sepatutnya buat.
“Dari sudut kepimpinan yang tidak selesai seperti ini, orang lihat ia seolah-olah memecahkan fokus kerajaan. Kalau perkara ini tak selesai juga, kita akan menghadapi kemuraman dari sudut ekonomi, politik dan tumpuan rakyat.
“Ini kerana banyak masa dan tenaga dihabiskan kepada perkara ini. Kita takut dalam nak menyelesaikan hal ini, kita buang masa dan akhirnya tak cukup masa untuk kerajaan menjalankan amanah, menyelesaikan masalah rakyat atau menunaikan manifesto,” katanya.
Sekiranya Pakatan Harapan (PH) tidak mampu menyelesaikan kemelut itu berdasarkan strategi yang telah ditetapkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 2018, Mujibu mencadangkan agar Parlimen dibubar dan kuasa memilih diserahkan semula kepada rakyat.
“Kalau PH tak boleh selesaikan perkara ini mengikut road map yang telah ditetapkan iaitu Anwar akan menggantikan Dr Mahathir dalam tempoh dua tahun, mungkin cara terbaik adalah membubarkan Parlimen dan pulangkan semula kepada rakyat.
“Walaupun ada desas-desus untuk mewujudkan kerajaan pintu belakang yang secara politiknya diterima tapi secara moralnya tidak begitu baik,” tegas beliau.
Keyakinan pelabur
Polemik peralihan kuasa semakin panas apabila portal berita Sarawak Report baru-baru ini melaporkan sumber mendakwa beberapa ahli Parlimen UMNO, Pas, Bersatu dan PKR (yang menyokong Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) telah menandatangani satu akuan bersumpah (SD).
Menurut portal tersebut, SD itu bagi menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir agar kekal menjadi Perdana Menteri selama satu penggal sehingga PRU-15.
Ini bermakna, Anwar tidak akan memegang jawatan tersebut seperti dijanjikan sebelum ini.
Cakna dengan perkembangan tersebut, Anwar lantas bertemu Dr Mahathir pada 13 Februari lepas.
“Dalam pertemuan tersebut saya dan Tun Dr Mahathir Mohamad membincangkan mengenai peralihan kuasa. Perkara ini (peralihan kuasa) akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari (Jumaat ini),” kata Anwar.
Dalam pada itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Dr Madeline Berma menegaskan khabar angin yang tiada ketentuan berkaitan peralihan kuasa sedikit sebanyak memberi kesan terhadap ekonomi negara.
Menurutnya, meskipun ia bukan penyebab utama ekonomi Malaysia mencatat kadar pertumbuhan malap, namun keadaan itu akan menyebabkan pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Peralihan kuasa pastinya akan menyebabkan pelabur asing mengambil sikap tunggu dan lihat kerana ia melibatkan perubahan dasar-dasar utama seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan,” katanya.
Mengambil contoh pasaran saham, Madeline menjelaskan lazimnya ia turut dipengaruhi khabar angin (dalam konteks berbeza) namun jika wujud terlalu banyak khabar angin, situasi itu tidak begitu baik untuk pasaran saham dan perniagaan.
“Kalau berlaku peralihan kuasa, ia sesuatu yang baik sebab menghapuskan perkara yang tidak pasti ini. Rakyat akan lebih pasti. Bagi perniagaan, itu lebih penting kerana pemimpin baharu itu akan menentukan dasarnya.
“Jadi bagi perniagaan, mereka akan tahu dasar-dasarnya seperti pelaburan asing, kewangan dan dasar ekonomi. Dr Mahathir caranya lain, Perdana Menteri baharu itu pula mungkin lain caranya.
“Perkara itu akan meninggalkan kesan kepada ekonomi negara (sekiranya isu peralihan kuasa masih terus menjadi tanda tanya),” katanya kepada Sinar Harian.
Tugas besar PM ke-8
Dalam pada itu, Pakar Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff meramalkan peralihan kuasa Perdana Menteri nanti tidak akan menyebabkan ekonomi negara berkembang terlalu perlahan.
Menurutnya, beliau menjangkakan peralihan kuasa akan berlaku secara aman dan selepas selesai, tidak mungkin Perdana Menteri yang baharu akan merombak dasar dan polisi negara secara drastik. “Oleh itu, tidak sepatutnya pelabur menarik keluar pelaburan atas fakta atau informasi yang tidak betul.
“Saya yakin tidak akan berlaku perubahan dasar dan polisi ekonomi secara drastik apabila pucuk pimpinan berubah.
“Malah, jika Perdana Menteri baharu dapat meyakinkan para pelabur dan penggiat industri dengan dasar dan polisi yang mampu merancakkan lagi ekonomi, keyakinan mereka akan meningkat,” katanya.
Hampir dua tahun PH memerintah, rasanya sudah berpuluh kali kisah peralihan kuasa dibangkitkan.
Biarpun berpuluh kali penjelasan dibuat, berpuluh kali jugalah ada pihak mempersoalkannya.
Andainya sedikit tumpuan dialihkan kepada rakyat, kita mungkin boleh nampak rakyat semakin muak dengan isu itu. Rasanya, moleklah kalau dihentikan segera sebelum rakyat meluat dan menolak pula.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!