Remaja 14 tahun ditahan tikam ibu saudara dengan pisau
PERAI - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun ditahan selepas menikam ibu saudaranya dengan sebilah pisau di Flat Jalan Perai Jaya di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 35 tahun mengalami kecederaan di bahagian perut sebelah kiri dan kini dirawat di hospital.
"Kita menerima maklumat mengenai kejadian lalu bergegas ke lokasi kejadian. Siasatan mendapati, suspek tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu berikutan mempunyai masalah keluarga.
"Bagaimanapun, ketika berada di ruang tamu rumah berkenaan, telah berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan suspek. Ia berlaku selepas suspek memberitahu mangsa untuk tinggal semula dengan ibu kandungnya namun mangsa menghalang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tambah Helmi, ketika pertengkaran tersebut, suspek tiba-tiba menikam mangsa dengan sebilah pisau.
"Suspek yang sudah tidak bersekolah telah ditahan manakala mangsa sedang dirawat di hospital.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!