Bilangan pesakit selesema di hospital England meningkat empat kali ganda
LONDON - Kes selesema terus melonjak di England dengan lebih 5,000 pesakit dimasukkan ke hospital menjelang Tahun Baharu, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat.
Data terkini Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) yang meliputi tempoh Krismas dan Tahun Baharu menunjukkan purata 4,469 pesakit selesema dimasukkan ke hospital setiap hari pada minggu lepas - hampir 3.5 kali ganda lebih tinggi berbanding minggu yang sama tahun lalu - termasuk 211 pesakit setiap hari di unit rawatan rapi.
NHS England dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa data menunjukkan terdapat 4,102 pesakit di hospital akibat selesema pada Hari Krismas, meningkat secara mendadak hampir satu perempat kepada 5,074 pada Ahad (29 Dis).
Angka baharu itu bermakna kes selesema di hospital meningkat empat kali ganda dalam tempoh sebulan, berbanding 1,190 kes pada 29 November.
NHS memberi amaran bahawa tekanan terhadap sistem kesihatan akan berterusan sehingga 2025, dengan Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) mengeluarkan amaran kesihatan tahap amber untuk cuaca sejuk di England apabila suhu dijangka turun di bawah paras beku dalam beberapa hari akan datang.
"Hospital masih mengalami tekanan daripada pelbagai virus, dengan purata 723 pesakit norovirus di hospital pada minggu berakhir 22 Disember, dan 528 pesakit setiap hari minggu lepas - walaupun ini telah menurun, ia kekal 40 peratus lebih tinggi daripada 378 kes minggu yang sama tahun lalu."
Menurut NHS, terdapat juga purata 74 kanak-kanak dengan 'Respiratory Syncytial Virus' (RSV) di hospital setiap hari minggu lepas, meningkat hampir separuh daripada 50 kes bagi tempoh yang sama pada 2023, selain purata 1,184 katil dihuni pesakit Covid-19.
"Angka terbaru ini menunjukkan tekanan akibat selesema masih belum reda sebelum kita memasuki Tahun Baharu, melonjak kepada lebih 5,000 kes sehari di hospital pada penghujung minggu lalu dan meningkat pada kadar yang sangat membimbangkan," kata Pengarah Klinikal Kebangsaan NHS bagi Penjagaan Segera dan Kecemasan, Julian Redhead.
Beliau memberi amaran bahawa selain selesema, terdapat juga tekanan berterusan daripada Covid-19 serta kes RSV dan norovirus di hospital juga lebih tinggi berbanding tahun lalu.
"Gelombang selesema musim sejuk ini menyaksikan lebih tiga kali ganda pesakit di hospital berbanding tahun lalu, memberikan tekanan besar terhadap NHS," kata Setiausaha Kesihatan Wes Streeting dalam kenyataan itu.- Bernama-AA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!