Tentera Israel kepung Hospital Indonesia di Gaza, arah segera dikosongkan
GAZA - Tentera pendudukan Israel telah mengepung Hospital Indonesia di Beit Lahiya, utara Gaza dan menuntut premis itu segera dikosongkan, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Tembakan dilaporkan berlaku di sekitar hospital yang kini menempatkan ratusan orang awam yang terdedah, termasuk kanak-kanak, wanita, pesakit dan kakitangan perubatan yang terperangkap di dalamnya.
Wartawan WAFA di lokasi mengesahkan bahawa tentera Israel terus melepaskan tembakan di sekitar kawasan hospital sambil mengarahkan pemindahan secara paksa terhadap semua individu di dalamnya.
Pada masa sama, sumber perubatan mendedahkan bahawa stesen oksigen dan elektrik hospital itu telah musnah, menyebabkan kemudahan tidak dapat menyediakan perkhidmatan perubatan kritikal.
Bekalan turut kehabisan, sekali gus mengancam nyawa pesakit dan individu yang cedera.
Hospital Indonesia kini sesak dengan pesakit yang dipindahkan dari Hospital Kamal Adwan, yang dibakar dan dimusnahkan oleh tentera Israel minggu lepas.
Hospital Kamal Adwan, satu daripada kemudahan penjagaan kesihatan terbesar di wilayah itu, memberikan perkhidmatan kepada lebih 400,000 penduduk sebelum ia dikepung, dikosongkan secara paksa dan dibom.
Kakitangan perubatan dan wartawan turut diusir secara paksa, manakala pengarah hospital itu, Dr Hussam Abu Safiya ditahan semasa serangan itu.
Selain menyasarkan hospital, tentera Israel turut meratakan kawasan sekitar dengan jentolak, memusnahkan infrastruktur secara sistematik dan menghapuskan semua bentuk kehidupan normal di wilayah berkenaan.
Insiden terbaru ini adalah sebahagian daripada corak kempen pembersihan etnik Israel yang lebih luas di utara Gaza.
Pada Oktober, tentera Israel melancarkan pencerobohan berskala besar, menyekat penghantaran bekalan penting seperti makanan, air, dan ubat-ubatan, serta menyasarkan hospital dan pusat penjagaan kesihatan.
Aktivis hak asasi manusia dan organisasi antarabangsa telah mengecam tindakan ini, dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva yang melindungi kemudahan perubatan serta orang awam semasa konflik. - Bernama-WAFA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!