Kewarganegaraan jadi harapan enam beradik yatim piatu

Kalsom (tiga, kiri) dan Tuminah (dua, kiri) menyantuni enam beradik yang merupakan anak yatim piatu di rumah mereka di Pekan Tangga Batu pada Jumaat. Foto Bernama
Kalsom (tiga, kiri) dan Tuminah (dua, kiri) menyantuni enam beradik yang merupakan anak yatim piatu di rumah mereka di Pekan Tangga Batu pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Enam beradik yang merupakan anak yatim piatu berharap permohonan mendapatkan status kewarganegaraan mereka dapat diluluskan dengan kadar segera seterusnya memudahkan mereka memohon MyKad.

Anak sulung daripada enam beradik itu, Nul Aziza Rosani,18, yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkata, dokumen berkenaan penting buat mereka khususnya bagi tujuan persekolahan dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerana sekiranya tidak sihat, mereka hanya membeli ubat di farmasi sahaja.

"Dokumen yang ada pada saya sekarang ini ialah sijil kelahiran bukan warganegara dan sijil pengangkatan namun alhamdulillah saya bersyukur proses menduduki SPM berjalan lancar tanpa halangan.

"Bagaimanapun, saya berhasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi dan sudah tentu memerlukan dokumen penting iaitu MyKad... jadi saya berharap boleh mendapatkan dokumen itu selepas permohonan kewarganegaraan diluluskan," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong itu kepada pemberita di rumah sewa mereka di Pekan Tangga Batu di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas lawatan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor,Tuminah Kadi @ Mohd Hashim.

Nul Aziza berkata, dia kini tinggal bersama lima lagi adik-adiknya Ahmad Baharom, 17, Azrul, 16, Khalid, 15, Mohd Said Maulidin, 12, dan Siti Khadijah, 10, selepas ibu saudara mereka Azira Hairon, 52, meninggal dunia pada Rabu lepas manakala ibu bapa kandung mereka, Nila Nasir dan Rosani Saman Ladit masing-masing meninggal dunia pada 2006 dan 2021.

Sementara itu, Kalsom berkata, proses permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan bagi enam anak yatim piatu itu telah dikemukakan oleh Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor ke Kementerian Dalam Negeri pada Mei tahun lepas.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan memantau perkembangan proses permohonan berkenaan dan berharap ia dapat disegerakan bagi memudahkan kehidupan enam adik-beradik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sebelum ini mereka hanya mendapat sijil lahir bukan warganegara memandang beberapa dokumen penting yang diperlukan tidak dapat dilengkapkan.

"Selain itu, kita juga akan memantau secara dekat kehidupan enam adik-beradik ini dengan kerjasama pemimpin dan penduduk kampung kerana mereka memilih untuk tidak berpisah atau tinggal di asrama.

"Namun sekiranya terdapat aduan kehidupan mereka tidak terurus atau timbul sebarang masalah, kita akan cari penyelesaian lain termasuk menghantar mereka ke asrama," katanya.

Mengulas mengenai kebajikan pula, beliau berkata, kesemua anak yatim itu mendapat pelbagai bentuk bantuan termasuk makanan dan kewangan daripada antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Melaka serta pelbagai badan bukan kerajaan dan individu prihatin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!