Amorim terdesak 'tendang' Rashford
MANCHESTER United dikatakan sedang mempertimbangkan tawaran pertukaran pemain melibatkan Marcus Rashford untuk memberikan Ruben Amorim pilihan tambahan di bahagian serangan.
United bersedia melepaskan Rashford dalam jendela perpindahan bulan ini selepas dia diketepikan oleh Amorim.
Penyerang itu telah disisihkan dalam empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum dimasukkan sebagai pemain gantian dalam kekalahan 2-0 Red Devils kepada Newcastle pada Selasa lalu.
Difahamkan, Rashford hanya akan berpindah ke kelab dan liga kompetitif yang boleh memberikannya peluang untuk kembali menyarung jersi kebangsaan England.
Menurut Mail Sport, Rashford telah menolak tiga tawaran lumayan daripada Liga Pro Saudi yang jauh melebihi gajinya sebanyak £315,000 (RM1.75 juta) seminggu di United dan dia juga menolak sebarang perpindahan ke Turkiye.
Walaupun bulan lalu Rashford menyatakan bahawa dia bersedia untuk cabaran baru dalam kariernya, namun pemain itu masih terbuka untuk kekal di United, di mana kontraknya hanya tamat pada Jun 2028.
Mengikut laporan The Sun, United sedang mempertimbangkan untuk menawarkan Rashford dalam pertukaran bagi mendapatkan penyerang Napoli, Victor Osimhen.
Osimhen yang mempunyai klausa pelepasan bernilai £62 juta (RM345 juta) dalam kontraknya, kini dipinjamkan kepada kelab gergasi Turkiye, Galatasaray.
Bintang Nigeria itu dipinjamkan selepas disingkirkan dari skuad Napoli susulan kegagalan perpindahannya ke EPL pada musim panas.
Penyerang itu menyertai Napoli pada 2020 dan telah menjaringkan 76 gol dalam 133 perlawanan dalam semua pertandingan untuk kelab Itali tersebut.
Dia membantu Napoli meraih kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 33 tahun pada musim 2022/23, dengan menjaringkan 26 gol liga dalam kempen terbaiknya bersama pasukan itu.
Musim ini, Osimhen telah menjaringkan 12 gol dalam 15 perlawanan untuk Galatasaray dan menunjukkan kehebatannya dengan menjaringkan dua gol ketika menentang Tottenham dalam Liga Europa.
Perjanjian untuk mendapatkan Osimhen dijangka dapat memperkuatkan pilihan serangan The Red Devils, yang hanya mencatatkan 21 gol dalam 19 perlawanan EPL musim ini.
Pengurus Napoli, Antonio Conte, dilaporkan berminat untuk mendapatkan Rashford kerana kelab tersebut sedang bersaing untuk gelaran Serie A.
Jika Rashford berpindah ke Napoli, dia akan bersatu semula dengan bekas bintang United, Romelu Lukaku dan Scott McTominay.
United sedia mendengar tawaran untuk Rashford bulan ini dalam usaha mereka mematuhi peraturan keuntungan dan kelestarian (PSR) dan juga mempertimbangkan perpindahan secara pinjaman jika kelab baharunya bersedia membayar yuran dan menanggung sebahagian besar gajinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!