Malaysia tiada pakar bola sepak?

Harimau Malaya mendapat sentuhan pakar luar negara dalam penstrukturan pasukan negara. Foto FAM
Harimau Malaya mendapat sentuhan pakar luar negara dalam penstrukturan pasukan negara. Foto FAM
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) secara berperingkat telah mengumumkan penstrukturan ke arah revolusi Harimau Malaya yang menyaksikan beberapa individu penting telah dilantik badan induk bola sepak itu.

Pelantikan Robert Douglas Friend yang mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Dr Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan serta Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu pasukan kebangsaan menyaksikan sentuhan pakar luar negara menjadi taruhan FAM.

Namun, apa yang menimbulkan persoalan sama ada pakar dan bakat tempatan dimiliki negara tidak setanding dan mampu untuk memacu pasukan kebangsaan.

Bagi penganalisis sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa, langkah FAM melantik individu dari luar negara itu wajar dalam usaha untuk mengangkat pasukan Harimau Malaya selepas sekian lama, namun sesuatu perlu dilakukan untuk mengelakkan terus bergantung kepada pakar luar.

“Walaupun kita telah merdeka selama 67 tahun, tetapi kita masih memerlukan pakar luar untuk meletakkan sukan negara di pentas dunia.

"Itu yang perlu kita lihat semula sama ada kita masih dijajah dalam aspek itu atau kita sendiri tidak membuka ruang untuk menghantar rakyat Malaysia yang ada potensi untuk berguru di luar negara dan kembali menjadi guru yang baik dalam negara.

“Sejauh manakah ruang untuk pembelajaran dalam pentadbiran sukan prestasi tinggi itu diberikan perhatian. Kita menghantar jurutera, doktor, peguam, akauntan dan sebagainya dalam bidang profesional lain ke luar negara.

“Sekarang, kita telah menjadi hub dan ada pakar dalam bidang tersebut, tetapi kenapa dalam bidang sukan terutama bola sepak, kita masih bergantung kepakaran luar,” katanya kepada Sukan Sinar.

Artikel Berkaitan:

Skuad bola sepak negara ketika ini dalam fasa revolusi menyaksikan Friend yang berasal dari Kanada dilantik sebagai CEO sekali gus peneraju utama dalam organisasi itu untuk memperkasakan Harimau Malaya.

Selain itu, saintis sukan dari Australia, Duncan pula bertindak dalam bidang sains sukan untuk menyediakan pasukan kebangsaan dengan tahap kesediaan fizikal dan taktikal yang terbaik, selain aspek berkaitan prestasi tinggi pemain.

Cklamovski juga dari Australia pula membimbing Harimau Malaya dengan misi mara ke Piala Asia 2027 memperbaiki ranking FIFA menuju ke kedudukan 100 terbaik dunia.

Satu-satunya wajah tempatan dalam struktur organisasi itu merupakan bekas pengendali Kedah, Nafuzi Zain yang diberikan tanggungjawab untuk membimbing skuad bawah 23 tahun negara.

Bagaimanapun, difahamkan terdapat beberapa jawatan lagi akan diumumkan kemudian sekali gus melengkapkan organisasi penstrukturan Harimau Malaya itu.

Justeru, Sadek turut mencadangkan agar ruang seluasnya dibuka terutama dalam memberikan pendedahan kepada individu dalam sukan berprestasi tinggi untuk menjadi pakar satu hari nanti sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pakar luar.

“Kita perlu membuka ruang seluas-luasnya kepada jurulatih tempatan misalnya untuk menjadi pakar dalam sukan bola sepak dan belajar semua konsep permainan seperti di Eropah dan sebagainya.

“Kita tak nak apabila jurulatih atau pakar luar ini sudah habis khidmatnya di negara kita, maka kita akan prestasi kita merudum, kembali menjadi 'zero' susulan tiada pakar tempatan untuk memacu sukan bola sepak atau juga sukan lain,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!