PJH dinasihat beri perkhidmatan terbaik kepada bakal haji
SEPANG - Semua 37 buah syarikat pengelola jemaah haji (PJH) dinasihat memberikan perkhidmatan terbaik meliputi aspek tadbir urus dan tatakelola pengurusan bakal haji agar berada pada kualiti integriti yang tinggi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, syarikat PJH tersebut memiliki kapasiti teguh, kepakaran, pengalaman mencukupi dan berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta menjaga kebajikan jemaah haji negara.
"Dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada pelbagai lapisan masyarakat dengan nilai pakej tertentu, syarikat PJH juga disyaratkan untuk menawarkan pakej haji ekonomi berharga di bawah RM55,000 untuk memberi pilihan kepada bakal jemaah haji mendapatkan perkhidmatan pakej haji.
"Alhamdulillah dan terima kasih kepada semua PJH menyahut cabaran ini dan menawarkan harga pakej tersebut. Besar harapan saya agar syarikat PJH mengambil peluang untuk mempromosi pakej-pakej haji ditawarkan secara langsung kepada orang ramai dan juga para bakal haji sepanjang Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan ini berlangsung," katanya pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-3 PJH 1446H/2026M di Movenpick Hotel and Pusat Konvensyen KLIA, di sini.
Karnival dianjurkan Tabung Haji (TH) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Malaysia (BUMITRA) itu diadakan selama tiga hari bermula 3 hingga 5 Januari pada jam 9 pagi hingga 9 malam.
Tambah Mohd Na'im, bakal haji turut diingatkan berhati-hati dengan penipuan pakej haji dan umrah yang ditawarkan oleh individu atau syarikat pelancongan yang tidak berlesen.
Ujar beliau, walaupun pelbagai inisiatif diambil pengurusan TH dalam memberi peringatan secara berkala kepada orang ramai agar tidak terpedaya dengan tawaran pakej haji yang meragukan melalui platform media cetak, media elektronik dan media sosial, namun masih ramai terpedaya pakej haji tidak sah yang ditawarkan pihak tidak bertanggungjawab.
"Kerajaan memandang serius dengan isu ini dan tekad untuk menangani kes penipuan membabitkan jemaah haji negara menerusi kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
"Ingin saya tegaskan individu atau syarikat menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan dan lesen daripada TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995," katanya.
Tegas beliau, jemaah juga diingatkan untuk memastikan pakej haji yang ingin diambil adalah daripada PJH dilesenkan TH termasuk bakal haji yang mendapat visa Furada dan Mujamalah agar pemantauan dapat dilakukan bagi memastikan semua Jemaah Haji Malaysia mendapat perkhidmatan yang terbaik.
Dalam pada itu, beliau berharap agar karnival berkenaan mampu memberi perubahan dan meningkatkan imej PJH sebagai agensi pelancongan Bumiputera Islam yang berkemampuan dalam urusan haji, umrah dan pelancongan di bawah sokongan TH dan BUMITRA.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!