Harbin inspirasi kisah benar
HARBIN membawa penonton melayari sebuah karya yang diinspirasikan daripada kisah pejuang kemerdekaan Korea Selatan, Leftenan Jeneral Ahn Jung-geun.
Diarahkan oleh Woo Min-ho (pengarah Inside Men, The Man Standing Next), Harbin yang cukup terkenal membawa penonton kembali ke tahun 1909, satu zaman paling gelap Korea di bawah pemerintahan Jepun.
Filem ini mengikuti aktivis kemerdekaan Korea - Ahn Jung-geun dan rakan-rakannya sanggup mempertaruhkan nyawa mereka dalam misi berani menyerang tentera Jepun yang menduduki Manchuria (kini China) demi menuntut semula tanah air mereka.
Lebih menarik, Harbin membariskan pelakon hebat Korea Selatan yang diketuai oleh Hyun Bin (Crash Landing on You, Confidential Assignment), Park Jeong-min (Deliver Us from Evil), Jo Woo- jin (Inside Men), Jeon Yeo-been (Vincenzo) dan Lee Dong-wook (Tale of the Nine Tailed, Goblin).
Menjalani penggambaran seluruh Mongolia, Latvia dan Korea Selatan dengan sentuhan sinematografi oleh Hong Kyeong-pyo (Parasite), membuatkan Harbin mempunyai tarikan yang cukup kuat baik dari sudut pelakon sehinggalah aspek teknikal.
Walaupun berjaya menyentuh perasaan penonton dengan semangat patriotisme yang tinggi, kekurangan Harbin adalah pada skrip filem yang tidak begitu kuat dan kemas. Momentum filem ini juga tidak konsisten walaupun mempunyai beberapa adegan yang menarik pada babak-babak terutama pada minit akhir.
Min-ho seharusnya mengucapkan terima kasih kepada barisan pelakon kerana berjaya membawakan watak masing-masing dengan cukup berkesan dan sentuhan teknikal Kyeong-pyo yang begitu kemas.
Bagaimanapun, Harbin masih sebuah naskhah yang berbaloi untuk ditonton walaupun mempunyai sedikit kelemahan. Secara tidak langsung, penonton dapat mengetahui sedikit sejarah kemerdekaan negara luar.
HARBIN
PENGARAH: Woo Min-ho
PELAKON: Hyun Bin, Lee Dong-wook, Jeon Yeo-bin, Park Jeong-min
GENRE: Thriller
DURASI: 1 Jam 55 Minit
KLASIFIKASI: 16
TAYANGAN: 2 Jan 2025
BINTANG: 3.5/5
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!