Malaysia tidak perlu teragak-agak
MALAYSIA telah melangkah jauh sejak Kerajaan Madani mengambil alih tampuk kepimpinan pada Disember 2022.
Daripada pelbagai misi pelaburan dan perdagangan sepanjang 2023 hingga 2024 (banyak yang disantuni oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim), Malaysia berjaya menarik potensi pelaburan bernilai RM448 bilion dan potensi eksport bernilai lebih RM65 bilion.
Pencapaian itu tidak berlaku secara kebetulan bagai bulan jatuh ke riba. Sebaliknya, ia merupakan keberhasilan daripada kestabilan politik dan transformasi, kejelasan serta konsistensi dasar-dasar Kerajaan Madani itu sendiri yang amat dihargai oleh pelabur dan rakan dagang.
Untuk menyokong agenda pembaharuan negara, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah melancarkan serta melaksanakan segera pelbagai projek transformasi industri di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) pada 2023.
Ia diikuti oleh dasar berasaskan sektor khusus seperti Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Strategi Pelaburan Hijau (GIS) pada 2024.
Dasar mesra perniagaan dan pro-pertumbuhan itu telah memberikan panduan jelas kepada pelabur tentang keutamaan Malaysia serta peluang pengembangan masa depan.
Kejelasan tersebut dan pelaksanaan dasar yang berdisiplin akhirnya menghasilkan pertumbuhan mampan diperlukan oleh Malaysia. Jelas sekali, 2024 adalah titik tolak pemulihan ekonomi kita.
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari Januari hingga September 2024 adalah 5.2 peratus (ketimbang 3.8 peratus untuk tahun 2023).
Ringgit semakin stabil dan merupakan salah satu mata wang berprestasi terbaik di Asia pada penghujung 2024. Pengangguran terkawal pada 3.2 peratus, manakala inflasi rata-rata berada di bawah dua peratus sepanjang tahun lepas.
Bagi tempoh Januari hingga September 2024, kita telah meluluskan RM254.7 bilion nilai pelaburan, peningkatan 10.7 peratus tahun ke tahun.
Ia termasuk beberapa komitmen pelaburan dari 2023. Sektor elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia yang menggaji 1.3 juta pekerja menerima pelaburan RM37 bilion pada separuh pertama 2024.
Kepentingan sektor itu kepada ekonomi dan rantaian bekalan global mendorong MITI untuk melancarkan NSS bagi memastikan pertumbuhannya yang mampan.
Malah, dasar perindustrian kita juga telah menarik ikon-ikon gergasi teknologi global seperti Amazon Web Services, Google, Microsoft, Infineon dan Oracle melabur atau mengembangkan pelaburan mereka di sini.
Perdagangan juga melonjak pada 2024. Perdagangan pada Januari hingga November 2024 meningkat 8.7 peratus kepada RM2.621 trilion tahun ke tahun, nilai dagangan tertinggi pernah direkodkan untuk tempoh tersebut, hasil daripada pemulihan permintaan luar dan kesan limpahan positif daripada kitaran teknologi global.
Sebagai sebuah negara per-dagangan terbuka dalam landskap geopolitik yang tidak menentu, Malaysia juga mesti meneroka pasaran dan perkongsian baharu — seperti yang kita lakukan di Asia Tengah dan Amerika Latin pada 2024.
Teruskan momentum
Jadi, bagaimana kita dapat mengekalkan momentum itu? 2025 adalah tahun mencabar dengan ketegangan geopolitik Amerika Syarikat (AS)-China (termasuk ketidaktentuan dasar Presiden Donald Trump) dan konflik di Timur Tengah serta negara-negara lain.
Kita tidak harus gentar dan perlu memanfaatkan kekuatan kita. Selain kejelasan dasar dan wawasan, kita juga boleh memanfaatkan kedudukan strategik, sikap berkecuali geopolitik serta modal insan Malaysia yang kukuh.
Kita juga perlu memanfaatkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 kerana ia adalah peluang keemasan yang hanya muncul sekali dalam sedekad.
Perhatian sudah pasti akan tertumpu kepada Tonggak Ekonomi ASEAN yang diterajui oleh MITI, dengan agendanya akan dimuktamadkan bersama beberapa kementerian utama lain. Kita mesti memanfaatkan jawatan Pengerusi ASEAN untuk kelebihan ekonomi Malaysia.
Kebanyakan inisiatif transformasi industri kita saling berkait dan merentasi pelbagai kementerian utama, jadi kita perlukan kerjasama erat semua pihak untuk memajukan agenda seperti akses pembiayaan bagi daya tahan iklim serta peralihan yang adil terutamanya untuk PKS mikro dan Pelan Hala Tuju EV ASEAN.
Selain ASEAN, pembaharuan perindustrian MITI bagi mencapai pertumbuhan mampan akan tetap diteruskan. Seperti digariskan oleh GIS, ia termasuk menarik pelaburan asing yang sangat diperlukan dalam teknologi hijau dan dalam mengawal selia penggunaan kuasa, air dan karbon (PUE, WUE, CUE) untuk pelaburan pusat data yang ingin mengakses insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC).
MITI mahu membuktikan bahawa kita boleh mencapai kedua-duanya, kemampanan dan pelaburan bernilai tinggi!
Tahun 2025 juga akan menyaksikan kemajuan yang lebih ketara untuk pelbagai projek berkaitan NIMP seperti permulaan projek pemetaan rantaian bekalan industri (untuk lebih bersedia menghadapi krisis seperti Covid-19), membolehkan PKS memulakan pelaporan kemapanan mereka serta memajukan inisiatif seperti Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) Perak dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Pendekatan pelbagai penjuru Kerajaan Madani mengutamakan pembaharuan industri bagi menarik lebih pelaburan dan perdagangan Malaysia.
Pendekatan tersebut, jika diganding dengan pembaharuan fiskal dan sektor buruh, tentunya bakal meningkatkan makroekonomi kita dengan memacu pekerjaan, produktiviti serta peningkatan kehidupan untuk rakyat dan perniagaan kita.
Ringkasnya, MITI sedang gigih memacu pembaharuan industri, di samping menarik lebih banyak perdagangan dan pelaburan untuk meningkatkan ekonomi serta menaikkan taraf hidup rakyat Malaysia.
Pertumbuhan inklusif, mampan
Semua usaha itu adalah penting dalam menghadapi pelbagai krisis global yang telah memecahbelahkan banyak negara kurang berdaya tahan. Inilah sebabnya saya berasakan tema ASEAN 2025 Malaysia iaitu Keterangkuman dan Kemampanan adalah tepat.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kita mesti memanfaatkan kekuatan semua rakyat, tidak kira warganegara, bangsa atau agama mereka, bukan sahaja di seluruh Malaysia tetapi juga ASEAN.
Pertumbuhan ekonomi yang bermakna mestilah inklusif dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk belia kita di semua wilayah.
Ia mesti membolehkan akses adil kepada peluang untuk PKS dan wanita serta kestabilan politik bagi syarikat-syarikat korporat tetapi dengan kekayaan yang dikongsi secara saksama dengan pekerja dan bukan dengan mengorbankan alam sekitar.
Ia adalah visi Kerajaan Madani dan MITI sedang berusaha gigih merealisasikannya. Pelbagai inisiatif MITI seperti membantu PKS mikro memulakan inisiatif kemapanan mereka dan menyokong usahawan wanita melalui Wanita dalam Perdagangan dan Industri (WITI) mungkin belum begitu ketara hasilnya tetapi inisiatif tersebut mewujudkan asas lebih kukuh untuk negara dalam jangka panjang.
Walaupun banyak yang telah dicapai, mengekalkan Malaysia pada trajektori reformasi dan pertumbuhan ini akan dapat memartabatkan negara kita secara mapan.
Lihat sahaja bagaimana Malaysia kembali kukuh dalam radar pelabur global, menjana tajuk berita antarabangsa yang positif dengan menarik pelaburan besar selepas hanya dua tahun usaha bersepadu.
Bayangkan apa yang boleh kita capai jika kita kekal fokus di landasan ini pada tahun-tahun akan datang. Jika ada yang masih ragu-ragu, biarkan mereka! Keikhlasan dan usaha gigih kita akan diterjemahkan menerusi peningkatan perdagangan dan pelaburan.
Satu perkara yang saya pasti — MITI dan agensinya akan melakukan yang terbaik untuk menjadikan 2025 sebagai tahun Malaysia bersinar terang sebagai pemain utama dalam orde baharu dunia.
Ayuh kita jadikan 2025 tahun yang lebih produktif untuk semua rakyat Malaysia!
* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!