Rasuah lulus pemeriksaan Puspakom, seorang lelaki ditahan
PUTRAJAYA - Seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) ditahan reman pada Sabtu.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata, lelaki berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan hasil kolaborasi strategik antara suruhanjaya tersebut dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Kata kenyataan itu, suspek yang bertugas dengan Puspakom di ibu negara ditangkap pada petang Jumaat.
"Individu tersebut telah diserahkan oleh JPJ kepada SPRM pada petang Jumaat dan ditahan selepas dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
"SPRM akan mendapatkan permohonan reman ke atas suspek di Mahkamah Putrajaya, jam 9 pagi ini," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek membuat bayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa.
Jelasnya, ia sebagai balasan untuk meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di Puspakom.
"Penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dan JPJ dalam memastikan integriti proses pemeriksaan kenderaan terus terpelihara serta bebas daripada sebarang amalan rasuah.
"SPRM komited untuk terus memerangi rasuah, khususnya yang melibatkan sektor penguatkuasaan, demi memastikan perkhidmatan awam di negara ini kekal telus, berintegriti serta dipercayai rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!