Polis siasat individu berpakaian menyerupai pasukan keselamatan negara
SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka satu kertas siasatan berhubung tindakan beberapa individu sebuah pertubuhan berpakaian rasmi menyerupai pakaian istiadat pasukan keselamatan negara di sebuah majlis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terkesan dengan video tular tersebut di aplikasi TikTok jam 2.30 petang pada Jumaat.
Beliau berkata, beberapa individu menghadiri satu majlis dengan memakai pakaian rasmi yang hampir menyerupai pakaian istiadat pasukan beruniform.
"Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 140 Kanun Keseksaan atau Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 atau Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM).
"Jika sabit kesalahan Seksyen 140 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, bagi sabit kesalahan di bawah Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 boleh dipenjara tidak lebih tiga bulan atau denda tidak lebih RM3,000.
Bagi Seksyen 233 AKMM, katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Tegas beliau, video tular tersebut juga boleh mendatangkan kekeliruan kepada orang ramai yang menganggap perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.
Jelas beliau, ia boleh menjurus kepada tindakan yang melanggar undang-undang termaktub di bawah undang-undang negara.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!