YB Sim perlu dalami terlebih dahulu buku 'Becoming Hannah'

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

TULISAN Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, mengenai buku Becoming Hannah karya Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh adalah contoh nyata bagaimana seorang pemimpin gagal memahami inti perdebatan yang sebenar, sekaligus mencerminkan kealpaan beliau dalam menilai isu-isu yang berkaitan dengan dasar negara dan sensitiviti masyarakat beragama di Malaysia.

YB Sim menyatakan bahawa kritikan terhadap Becoming Hannah adalah berpunca daripada "bigot" yang mendakwa bahawa buku tersebut digunakan untuk memurtadkan orang Islam.

Ini adalah satu salah tanggapan yang jelas.

Perdebatan sebenar buku ini bukan tentang dakwaan pemurtadan, tetapi tentang bagaimana kandungan buku tersebut bertentangan dengan dakwaan DAP memperjuangkan negara sekular, tidak sejajar dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta melanggar Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang melarang penyebaran agama bukan Islam kepada umat Islam dengan memperuntukkan seperti berikut: “ Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.

Kontradiksi dalam kenyataan YB Sim

Satu lelucon bila YB Sim mendakwa bahawa Hannah "hanya menyimpan kepercayaannya di dalam diri sendiri” (“Hannah just kept her faith to her inner self”).

Jika YB Sim membaca dan memahami buku Becoming Hannah, beliau tidak akan membuat kenyataan sedangkal ini.

Di muka surat 108 bukunya, Hannah menyatakan:

Artikel Berkaitan:

"I also felt that politics took me away from my true longing, which was to be a preacher.

But had I not obeyed God’s call, I would not have had the opportunity to preach at churches, to world leaders and to young people, like I am able to do now.

God knew the desire of my heart to preach and serve Him. And He made it happen through my political office.”

Jika diterjemahkan, kalimah ini membawa maksud:

Politik menjauhkan Hannah daripada keinginan sebenar beliau untuk menjadi seorang pendakwah.

Hannah mengakui bahawa politik memberi peluang kepadanya untuk berceramah di gereja, kepada pemimpin dunia, dan kepada golongan muda.

Hannah juga percaya bahawa pejabat politiknya adalah medium untuk memenuhi keinginannya berdakwah.

Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa Hannah tidak menyimpan kepercayaannya "di dalam diri" tetapi secara aktif menjadikan kepercayaannya sebagai sebahagian daripada kerjaya politiknya.

Di muka surat 110 bukunya pula, Hannah menyatakan:

"God wants to reclaim politics and public service in Malaysia for righteousness’ sake. He is looking for God-fearing men and women who are willing to roll up their sleeves and labour in this very demanding field."

Kenyataan ini adalah seruan jelas kepada golongan Kristian untuk melibatkan diri dalam politik dengan tujuan melayani Tuhan.

Kenyataan seperti ini bertentangan dengan semangat sekularisme yang kononnya diperjuangkan oleh DAP dan bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah pendakwahan yang menyasarkan pengaruh agama ke dalam sistem politik serta penggunaan platform politik untuk pendakwahan agama.

Semua ini bercanggah dengan dakwaan YB Sim bahawa “Hannah just kept her faith to her inner self.”

Semalam, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, sebanyak 157 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kandungan buku Becoming Hannah.

Banyaknya laporan polis ini membuktikan kandungan buku ini menjadi ancaman kepada keharmonian dan keselamatan negara.

Oleh itu kesediaan polis untuk merekod keterangan Menteri Belia dan Sukan itu dalam masa terdekat wajar disambut baik tetapi janganlah pula dia dilindungi semata-mata dia adalah pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan.

Walaupun tiada bukti pemurtadan, niat Hannah untuk menjadikan politik sebagai medan pendakwahan Kristian jelas membawa implikasi serius terhadap dasar negara sekular yang dimahukan oleh DAP atau kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jika ada umat Islam atau Buddha yang murtad pun mana kita akan tahu sebab perkara ini tidak dihebahkan.

Apa yang penting ialah cubaan memurtadkan penganut Islam itu sudah satu kesalahan tidak semestinya kena tunggu pemurtadan benar-benar berlaku.

Semua dua kesalahan di bawah adalah berasas kepada kemungkinan sahaja:

Seksyen 4(1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988 (Enakmen No 1/1988):

“Seseorang adalah melakukan kesalahan jika ia memujuk, mempengaruhi, atau menghasut seorang lain yang beragama Islam supaya menjadi penganut atau anggota suatu agama bukan Islam atau supaya cenderong kepada agama itu.”

Seksyen 298(A)(1) Kanun Keseksaan:

“(a) Menyebabkan, atau cuba menyebabkan, atau mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan, atau perasaan permusuhan, benci membenci atau niat jahat, atau

(b) Memudaratkan, atau cuba memudaratkan, atau mungkin memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan, di atas alasan agama.”

Kenyataan-kenyataan Hannah dalam bukunya memang membawa potensi untuk menimbulkan ketegangan agama dan melanggar undang-undang ini.

Mengapa laporan polis dibuat kini sedangkan buku diterbitkan pada tahun 2014?

Sebelum ini sudah banyak persoalan ditimbulkan tetapi kini ia diabsahkan bila Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi, sendiri memutuskan begitu, iaitu:

"Bukti menunjukkan pengakuan oleh Plaintif: bahawa dia menyebarkan ajaran Kristian secara halus di Malaysia, bahawa dia kembali sebagai 'duta Tuhan', bahawa dia ingin berdakwah melalui jawatan politiknya, dan bahawa bukunya ditujukan untuk semua orang, bukan hanya untuk penganut Kristian." (“Evidence shows admissions by Plaintiff: that she preaches Christianity subtly in Malaysia, that she returned as "God's ambassador", that she wanted to preach through her political (offices), and that her book was intended for everyone, not just Christians.”)

Siapa YB Sim untuk menyanggah keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur?

YB Sim sendiri mungkin tidak terpengaruh dengan buku ini kerana latar belakang agamanya yang kukuh.

Namun, bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai asas agama yang kukuh?

Adakah YB Sim yakin bahawa tiada kesan jangka panjang terhadap masyarakat? Mengabaikan kebimbangan ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab.

Hipokrasi dan dilema sekularisme DAP

Jika DAP benar-benar memperjuangkan sekularisme, mengapa membiarkan kenyataan dalam buku ini bercanggah dengan prinsip tersebut?

Islam adalah agama Persekutuan, dan Perlembagaan Persekutuan memberikan perlindungan kepada umat Islam daripada pengaruh agama lain.

DAP harus menjelaskan bagaimana mereka dapat mendamaikan pendirian Hannah dengan perjuangan sekularisme mereka.

Kesimpulannya, tulisan YB Sim adalah usaha dangkal untuk menutup kelemahan hujah dan bertindak defensif terhadap kritikan yang sah.

Beliau gagal memahami inti perdebatan sebenar dan malah memperlekehkan kebimbangan yang wajar dari sudut perlembagaan, undang-undang, dan sensitiviti agama.

Penulisan beliau hanya menonjolkan kedangkalan pemahamannya terhadap isu-isu yang lebih mendalam dan mendasar.

YB Sim harus sedar bahawa tulisan seperti ini hanya memperburukkan persepsi terhadap parti yang diwakilinya dan mencerminkan keengganan untuk menerima kritikan yang membina.

Adalah lebih baik untuk menganalisis isu ini secara objektif daripada sekadar menyerang pengkritik dengan label "bigot" yang tidak berasas.

Hannah sebenarnya seorang "bigot", bukan orang lain yang mengkritik Hannah seperti didakwa YB Sim, kerana dia cuba memaksa orang lain untuk mengikuti cara hidup Kristian.

* Profesor Dato' Haji Mahamad Naser Bin Disa merupakan profesor undang-undang perlembagaan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!