Pemandu lori pandu bahaya berhampiran sekolah serah diri
SEREMBAN - Pemandu lori yang memandu dalam keadaan berbahaya di Jalan Seremban-Port Dickson berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mambau di sini telah menyerah diri pada Jumaat.
Lelaki berusia 65 tahun itu tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Seremban jam 6.20 petang selepas dua jam pengguna jalan raya memuat naik video berkenaan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pada jam 4.20 petang, Jumaat pihaknya mengesan satu video tular berdurasi 38 saat menunjukkan sebuah lori berwarna merah dipandu dalam keadaan berbahaya.
"Kejadian dipercayai berlaku pada jam 12.16 tengah hari dan usaha mengesan suspek telah dilakukan.
"Seorang lelaki berusia 65 tahun telah hadir sendiri ke balai polis dan mengaku sebagai pemandu lori terbabit," katanya.
Beliau berkata, lelaki itu telah ditahan bersama lorinya bagi tujuan siasatan lanjut manakala ujian saringan air kencing yang dilakukan terhadapnya adalah negatif.
Bagaimanapun ujarnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!