Merokok: 7,578 notis kesalahan dikeluarkan di Terengganu

JKNT mengeluarkan 7,578 notis kesalahan bernilai RM1.6 juta di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta 852. Foto JKNT
JKNT mengeluarkan 7,578 notis kesalahan bernilai RM1.6 juta di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta 852. Foto JKNT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengeluarkan sebanyak 7,578 notis kesalahan bernilai RM1.6 juta di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, semua kesalahan itu dikesan hasil pemeriksaan yang dijalankan melibatkan lebih 26,951 premis di seluruh Terengganu sepanjang 2024.

"Daerah Kemaman merekodkan kes tertinggi iaitu 1,247 diikuti Kuala Terengganu sebanyak 1,058 kes.

"Marang pula merekodkan sebanyak 950 kes; Hulu Terengganu (938); Setiu (924); Dungun (921); Kuala Nerus (787) dan Besut mencatatkan 760 kes," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Kasemani berkata, Ops Gomo Asap yang dilakukan sepanjang tahun 2024 turut memfokuskan Kawasan Terengganu Bebas Asap Rokok (TBAR) serta lokasi larangan yang lain.

Sementara itu, Dr Kasemani berkata, sebanyak 669 notis kesalahan Peraturan 13(1) telah dikeluarkan kepada Orang Belum Dewasa (OBD) yang merokok.

"Jumlah itu meningkat sedikit berbanding 618 kesalahan sama yang direkodkan pada tahun 2023.

"Selain itu, sebanyak 639 item pelbagai jenama rokok turut disita dengan nilai RM4346.10 atas pelbagai kesalahan termasuk penjualan rokok di bawah harga minima RM12 ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Melalui Ops Cakna untuk membanteras penjualan rokok elektronik (vape) pula, Dr Kasemani memaklumkan, sebanyak 1,501 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang tahun lalu.

"Sesi advokasi telah dijalankan melibatkan lebih 3,000 premis.

"Anggota penguatkuasa JKNT kini fokus kepada pemantauan Ops Cakna Akta 852 bagi membanteras penjualan vape secara terbuka," jelas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!