Batu Puteh: Heret pihak tarik balik permohonan semakan ke muka pengadilan - MB Johor
JOHOR BAHRU - Pihak yang terbabit menarik balik permohonan semakan tuntutan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan perlu diheret ke muka pengadilan.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata, kerajaan negeri sudah menerima petisyen himpunan Batu Puteh yang dianjurkan pada Jumaat.
Katanya, kerajaan negeri juga mengikuti perdebatan awam yang berlaku susulan penerbitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.
"Laporan RCI itu mendedahkan tindakan Kerajaan Persekutuan menarik balik permohonan semakan dan tafsiran keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2018 meskipun wujud bukti-bukti baharu yang mengukuhkan tuntutan Malaysia.
"Penarikan semula permohonan semakan itu dibuat meskipun wujud bukti yang kukuh untuk menyokong tuntutan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurut Onn Hafiz, kerajaan negeri dan seluruh Bangsa Johor menzahirkan rasa penuh dukacita di atas pengkhianatan yang telah berlaku ini.
"Mereka (yang terbabit) perlu dihakimi oleh perundangan negara di atas pengkhianatan ini.
"Kerajaan Johor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menggugat keharmonian dan kedaulatan negeri Johor mahupun negara.
"Kerajaan negeri juga berharap supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba memutarbelitkan isu ini sehingga mengancam kedaulatan negeri dan negara," katanya.
Pada Jumaat, beberapa NGO Johor dilaporkan menyerahkan petisyen kepada kerajaan Johor mendesak pihak berkaitan untuk mengambil tindakan tegas berhubung isu kedaulatan Batu Puteh sehingga menyebabkan negara kehilangan aset berharga itu.
Penyerahan petisyen itu diadakan pada Himpunan Solidariti Bangsa Johor Terhadap Batu Puteh di Dataran Mahkota, Kota Iskandar, yang turut dihadiri 400 ahli pelbagai NGO Johor.
Pada 5 Disember lalu, RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dilaporkan mengesyorkan siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, keputusan penarikan permohonan semakan dan tafsiran terhadap membatalkan keputusan ICJ telah dibuat secara sengaja.
Katanya, ia dilakukan tanpa asas munasabah yang bertentangan dengan fakta sejarah dan nasihat perundangan, malah membelakangi Jemaah Menteri dengan membuat keputusan secara sepihak.
"Dengan tidak meneruskan permohonan tuntutan Malaysia terhadap kes Batu Puteh, maka tercatatlah suatu titik paling hitam dalam lembaran sejarah Malaysia dan Johor, di mana kita telah kehilangan peluang untuk mendapatkan kembali wilayah jajahan Kesultanan Johor.
"Segala hak yang berbaki untuk menuntut kedaulatan ke atas Batu Puteh kini luput dan terlucut buat selama-lamanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!