Kedai perkakasan hangus
KUANTAN - Sebuah kedai perkakasan musnah akibat kebakaran di Jalan Sungai Soi Pekan-Kuantan di sini awal pagi Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuantan bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 2.38 pagi.
Menurutnya, komander operasi melaporkan berlaku kebakaran kedai perkakasan dan anggaran keluasan kedai adalah 100 X 50 kaki persegi.
"Operasi memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hos kira-kira 70 meter, satu pancutan dan satu aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba dan air pili bomba.
"Anggota BBP Taman Tas turut hadir ke lokasi bagi membantu memadamkan kebakaran dengan menggunakan satu aliran hos 91 meter dan satu pancutan air tangki pam jentera bomba selain tangki air dari BBP Peramu turut dibawa ke lokasi," katanya.
Ujarnya, peratusan kebakaran dianggarkan 80 peratus dan tidak melibatkan mangsa.
Jelasnya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan tamat pada jam 5.59 pagi manakala punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!