Bersatu tidak halang ahli sertai himpunan solidariti Najib

Sahruddin Jamal
Sahruddin Jamal
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menghalang jika mana-mana ahlinya mahu menyertai himpunan solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, tiada sebarang arahan atau halangan untuk ahlinya menghadiri perhimpunan itu walaupun ia bukan anjuran Bersatu.

Pengerusi Bersatu Johor itu juga mengingatkan ahli Bersatu yang ingin hadir perhimpunan pada Isnin ini, mereka mesti maklum pendirian parti mengenai himpunan solidariti tersebut, yang mana ia bukan mengenai kes mahkamah atau sebarang pendakwaan lain.

"Pendirian parti konsisten iaitu proses mahkamah wajib berjalan dengan telus dan adil dan sekiranya perbicaraan yang telus dan adil mendapati kesalahan telah dilakukan, maka hukuman yang wajar mesti ditentukan oleh mahkamah dan dilaksanakan.

"Titah Adendum jika benar-benar wujud, ia perlu dijunjung dan dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan kerana ini juga adalah sebahagian daripada proses perundangan negara dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak tertentu yang tidak boleh dipersoal.

"Sekiranya mana-mana pihak dengan sengaja tidak melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong ini bermaksud ia adalah penderhakaan kepada institusi beraja negara," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sebelum itu, Pas dilaporkan tidak berhasrat untuk menyemak kembali saranan yang telah dibuat berhubung kehadiran aman ahli-ahlinya di Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin sebagai tanda solidariti terhadap Najib.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ini kerana ia sekali-kali tidak menyanggah mahupun mengurangi makna dan tujuan titah Yang di-pertuan Agong, mana-mana peruntukan Perlembagaan atau mengganggu proses serta perjalanan Lembaga Pengampunan.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan cadangan supaya mana-mana banduan diberikan keampunan atau pengurangan hukuman, hendaklah dikemukakan banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada mesyuarat akan datang.

Menurut Istana Negara, ini kerana kuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Susulan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti berkenaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada Isnin ini yang bertujuan menyatakan solidariti terhadap Najib berhubung isu Titah Adendum.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, jika Titah Adendum ini wujud, Kerajaan Perpaduan bukan sahaja telah meremehkan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, malah tidak bersikap telus dengan menyembunyikannya daripada rakyat.

"Ia seolah-olah memperlekehkan kuasa dan autoriti mahkamah dalam mentafsirkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan apabila Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan yang subjudis dan mendahului mahkamah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!