Dua wanita maut, dua parah kereta terbabas masuk gaung
MARAN - Dua wanita maut manakala dua lagi parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter di Kilometer (KM)152, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Felda Nerek di sini pada Sabtu.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran bersama dua jentera dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada jam 11.07 pagi.
Menurutnya, operasi turut dibantu tujuh anggota dari BBP Temerloh.
"Komander operasi melaporkan sebuah kereta jenis Nissan Almera terbabas ke dalam gaung dan terdapat empat perempuan dewasa tersepit di dalam kereta.
"Pasukan bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat," katanya.
Tambah beliau, dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Dua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk menerima rawatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!