'Rasa sakitnya tidak terungkap'
KUANTAN – Sakit yang tidak terungkap. Itulah yang dirasakan oleh Nurul Huda Mohammed, 43, setiap kali menjalani rawatan kemoterapi untuk melawan kanser payudara tahap dua dihidapinya sejak lapan bulan lalu.
Walaupun setiap rawatan didakwa sangat menyakitkan, ibu kepada dua anak itu tetap bertekad untuk berjuang demi keluarganya.
“Sakitnya, hanya ALLAH yang tahu. Tapi saya terpaksa bertahan, berdoa agar diberikan kekuatan dan bergantung pada ubat penahan sakit,” kata Nurul Huda ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurutnya, rawatan kemoterapi bukan hanya menguji kekuatan fizikal, tetapi juga emosi dan mental. Setelah menjalani rawatan, dia berasa lemah, mual, demam dan sakit yang berlarutan sehingga seminggu. Setiap kali sesi baru bermula, air matanya tidak dapat ditahan, terbayang penderitaan yang bakal ditempuh.
Bercerita tentang penyakitnya, kerani di sebuah syarikat swasta yang menetap di Taman Balok Perdana itu berkata, pemeriksaan mammogram pada awalnya tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit, termasuk kanser.
Nurul Huda berkata, dia mula menyedari terdapat ketulan kecil di payudara kirinya namun ia semakin membesar dan berubah warna pada tahun lalu.
Melihat keadaan kesihatan yang semakin teruk, suaminya, Muhammad Hidayat Mazlan, 32, meminta supaya dirinya menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
“Doktor mengesahkan saya menghidap kanser payudara tahap dua. Bila dengar keputusan pemeriksaan, saya tidak dapat menerima hakikat itu dan dalam kepala saya hanya terbayang nasib anak-anak. "Saya fikirkan bagaimana jika saya tiada nanti, tetapi suami banyak memberi kata-kata semangat yang membuatkan saya reda dengan takdir,” ujarnya dengan nada sayu.
Setelah disahkan menghidap kanser, Nurul Huda menjalani pembedahan untuk membuang ketulan kanser tersebut. Namun, proses pemulihan menjadi lebih sukar apabila dia dijangkiti kuman di luka pembedahan yang memerlukan rawatan cucian harian selama dua bulan.
Nurul Huda berkata, kini dia menjalani 23 sesi radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
"Beban kos rawatan sangat membebankan. Suami bekerja sebagai mandor ladang dan pendapatan tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan serta menyara dua anak yang masih kecil.
"Saya berharap bantuan orang ramai atau pihak berwajib untuk meringankan beban keluarga.
"Saya tidak pasti bagaimana keadaan penyakit pada masa depan, namun sangat berharap ada pihak yang dapat membantu," katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank RHB 15605000047821 atas nama Nurul Huda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!