Projek ECRL: 90 kepok kubur Selat Klang sudah dialih

Kerja-kerja pengalihan kepok kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini pada Sabtu.
Kerja-kerja pengalihan kepok kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Sebanyak 90 kepok kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang di sini telah pun dialihkan pada Sabtu.

Seorang waris, Hazlina Hasbullah, 49, berkata, kerja-kerja menanggalkan kepok kubur mula dilakukan pada jam 10 pagi.

Menurutnya, proses pengalihan itu mengambil masa kira-kira dua jam dengan sebahagiannya masih sempurna diletakkan berhampiran dengan pagar perkuburan.

"Kami kesal kerana kerja-kerja ini dilaksanakan serta-merta dan segala bantahan kami sebelum ini tidak diambil peduli," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Hazlina, waris juga telah dimaklumkan kerja-kerja pemindahan kubur itu tetap diteruskan pada Isnin.

Tambah beliau, difahamkan sebanyak 27 lot kubur terlibat dijangka dipindahkan pada setiap hari.

"Proses ini dijangka berlaku dalam tempoh masa ditetapkan tanpa memikirkan emosi waris yang membantah perlaksanaannya," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, peguam mewakili waris juga telah menghantar notis tuntutan (LOD) kepada pihak terlibat bagi mengemukakan beberapa tuntutan baharu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung pemindahan kubur terlibat.

Sinar Harian pada November lalu melaporkan, penduduk menyuarakan bantahan menerusi memorandum tiga muka surat berikutan pemindahan 90 tapak Tanah Perkuburan Islam Selat Klang bagi memberi laluan kepada projek ECRL.

Menerusi memorandum itu, penduduk mengemukakan tuntutan antara lain meminta pihak terlibat menyediakan garis panduan pemindahan kubur di negeri ini.

Antara tuntutan itu termasuklah surat permohonan pemindahan kubur dari pihak ECRL kepada JAIS.

Tuntutan lain, seperti mendapatkan makluman rasmi daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor kepada JAIS menyatakan kebenaran berkaitan surat kebenaran JAIS meliputi perkara-perkara yang diwartakan di dalam garis panduan tersebut.

Tuntutan itu turut menyatakan, sekurang-kurangnya seorang waris dibenarkan melihat sepanjang proses pemindahan dilakukan selain kerajaan negeri perlu menanggung kos kepok dan batu nisan serta segala kerosakan lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!