Permohonan tidak lengkap, PDRM tolak penganjuran himpunan solidariti Najib

PDRM menolak penganjuran himpunan solidariti Najib di Istana Kehakiman pada Isnin.
PDRM menolak penganjuran himpunan solidariti Najib di Istana Kehakiman pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penganjuran himpunan solidariti buat Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Kehakiman di sini pada Isnin ditolak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya ada menerima permohonan penganjuran tersebut pada 31 Disember lalu namun ia terpaksa ditolak.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas semakan dilakukan mendapati permohonan berkenaan tidak lengkap.

"Untuk itu, pihak polis menolak kebenaran untuk tujuan perhimpunan.

"Pemakluman penolakan permohonan telah diberitahu kepada pihak penganjur pada Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, pihaknya juga akan membuat persediaan kawalan keselamatan berhubung penganjuran perhimpunan itu menerusi kekuatan anggota seramai 456 orang.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Mahkamah Rayuan menetapkan Isnin sebagai mendengar rayuan bekas Perdana Menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Artikel Berkaitan:

Susulan kes itu, himpunan pada Isnin dilakukan sebagai satu bentuk sokongan ahli UMNO terhadap Najib yang juga bekas Presiden parti itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!