Antonsen simpati dengan Zii Jia
JUARA bertahan, Anders Antonsen dari Denmark yang bermotivasi untuk mempertahankan gelarannya pada edisi 2025 meluahkan rasa simpati terhadap Lee Zii Jia yang terpaksa menarik diri daripada Terbuka Malaysia pada 7 hingga 12 Januari ini.
Beliau yang memburu kejuaraan keempatnya selepas cemerlang dengan tiga gelaran musim lepas berkata, terkilan kerana tidak dapat melunaskan misi balas dendamnya terhadpa pemain berusia 26 tahun itu selepas tewas pada suku akhir Masters Malaysia tahun lepas.
Pada masa sama, bersimpati kerana pemain perseorangan lelaki profesional negara itu tidak dapat beraksi di hadapan penyokong Malaysia yang sudah pasti ingin melihat beliau beraksi dalam kejohanan Super 1000 itu.
"Ia kejohanan besar. Sangat menakjubkan kita mulakan 2025 dengan kejohanan Super 1000 tetapi saya teruja. Saya tidak rasa ada tekanan tambahan hanya kerana saya juara bertahan.
"Saya pasti semua pemain boleh jadi juara, ia bergantung kepada bagaimana pendekatan kita dalam setiap perlawanan.
"Untuk Zii Jia, saya bersimpati dengan beliau, tapi saya tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi ketika beliau mengalami kecederaan di Jelajah Dunia Akhir.
"Saya pasti beliau mahu beraksi di negaranya. Saya berharap beliau segera pulih dan dapat kembali ke gelanggang dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada Sabtu.
Antonsen yang meraih tiga gelaran juara pada musim 2024 iaitu Kejohanan Eropah, Terbuka Denmark dan Masters China bagaimanapun mengakui setiap pemain berpeluang merampas kejuaraan namun ia tidak mendatangkan sebarang tekanan kepada dirinya.
Pemain kedua dunia itu dijadual berdepan pemain Taiwan, Wang Tzu Wei pada puisngan pertama.
"Saya tahu beliau adalah pemain yang pada hari terbaiknya boleh mencabar sesiapa sahaja. Jadi, saya mengambil serius pertemuan ini. Saya fokus 100 peratus pada perlawanan nanti dan kita akan lihat seterusnya,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!